RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 30 November 2014

Produk Buah Campuran


PRODUK BUAH CAMPURAN


WAKAF BAHARU, KELANTAN: Kebanyakan masyarakat Kelantan sememang menggemari buah-buah asam sama ada dimakan begitu saja atau dijadikan sebagai “colek”. Dilihat tentang perkembangan colek buah-buahan asam berkenaan begitu popular di kalangan masyarakat negeri ini sejak dahulu, maka buah-buah asam itu kemudiannya dijadikan “jeruk” sama ada menggunakan garam dan sebahagiannya menggunakan “ibu gula”.

Namun, konsep baharu yang diperkenalkan kini apabila ada pembekal buah-buah asam berkenaan yang berjaya mencipta satu resipi khusus sehingga pengguna yang pernah memakannya berasa agak berbeza sebagaimana kaedah colek itu. Buah-buahan asam manis yang diusahakan dan diperkenalkan oleh pengusaha dan pembekal dari Pulau Pinang itu kini telah berjaya menambat hati pengguna dan penggemar buah asam itu apabila produk berkenaan begitu laris di pasaran sehingga memberikan ilham kepada beberapa pihak untuk berkongsi memasarkannya pula kepada penggemar-penggemar yang ada di sesebuah negeri itu.

Individu pertama yang memasarkan buah asam manis di Kelantan telah memulakan produk berkenaan sejak tahun 2012 lagi. Malah sehingga hari ini pasaran produk buah asam manis itu bertukar tangan apabila diambil alih pula oleh anaknya yang giat mempromosikannya di beberapa tempat di Kelantan kerana menurutnya produk buah asam manis itu turut diminati oleh pengguna dan penggemar-penggemar di negeri ini khususnya di kalangan wanita. Namun, siapa sangka buah asam manis itu juga turut diminati oleh kebanyakan lelaki terutamana golongan veteran kerana rasanya yang enak dan lazat.

Ketika ditemui oleh Wartawan RELATIF di kediaman individu pertama yang dimaksudkan itu, Mohd. Aman bin Azoha, 26, atau lebih dikenali dengan Aman dari Kampung Belukar, Wakaf Baharu, Kelantan memang mengakui hakikat itu.

“Sejarah permulaan yang mengusahakan produk buah asam manis ini adalah dari bapa saya sendiri. Bapa menyatakan, produk ini ada potensi untuk diketengahkan kepada pengguna dan penggemar yang pada anggapannya agak ramai”, katanya ketika menerima kunjungan Wartawan RELATIF dan Jurufoto di kediamannya yang terletak di kampung itu.

Katanya, usaha yang dimulakan oleh bapanya sejak dua tahun lalu iaitu pada tahun 2012 itu sebenarnya membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka berikutan tiada pihak lain yang bersungguh-sungguh untuk memasarkan produk seumpama itu. Jadi menurutnya, sebelum pasaran produk berkenaan dipintas oleh orang lain menyebabkan bapanya mengusahakannya sebaik mungkin sehingga hari ini.

Katanya, pada ketika itu minatnya terhadap bidang itu sudah mula berputik apabila melihat kejayaan bapanya mendapatkan pembeli dan penggemar dengan mudah walaupun dalam masa yang sesingkat itu. Namun, disebabkan kekangan pelajarannya pada ketika itu menyebabkan dia menangguhkannya terlebih dahulu. Kini apabila beliau sudah bebas dari ikatan pelajaran, pastinya dia akan menggalas tugas itu menurut jejak bapanya sebagai pembantu dan penggerak utama untuk memasarkan produk buah asam manis tersebut.

“Kami mendapat bekalan buah asam manis ini dari Pulau Pinang. Bekalan buah asam manis dari negeri itu memang tersohor kerana ramai penggemarnya berkata seperti itu. Saya agak, penggemarnya bukan di Kelantan saja tetapi seluruh Semenanjung.

“Peranan kami ialah membungkus produk buah asam manis itu untuk dipasarkan kepada pengguna yang menggemarinya”, katanya.

Menurut Aman, dia mendapatkan bekalan buah asam manis itu secara borong melalui tempahan. Manakala dalam konteks bayaran pula, kadang-kadang pihaknya membuat bayaran separuh dari bekalan itu. Setelah ada pasaran dan buah asam itu mula mendapat perhatian pembeli, dari wang tersebut beliau akan melunaskan bayaran seterusnya untuk mendapatkan tempahan yang baharu pula.

Katanya menambah, beliau membuat tempahan dengan pembekal buah asam manis itu dan dalam beberapa hari saja, bekalan buah asam manis itu tiba di Kota Bharu melalui bas. Di Kota Bharu beliau mendapatkannya untuk dibawa pulang. Tugas yang perlu beliau lakukannya ialah dengan membeli gelas plastik, mencetak bungkusan dan label kemudiannya diedarkan kepada beberapa kedai runcit berdekatan.

“Sebotol buah asam manis itu dijual kepada peruncit dengan harga RM2, kemudiannya peruncit akan menjualkannya kepada pembeli dengan harga RM2-50. Bermakna peruncit mendapat untung sebotol sebanyak 50 sen”, ujar Aman lagi.

Apabila ditanya tentang cita-citanya dalam bidang perniagaan seperti itu, beliau berkata, dalam keadaan sekarang beliau masih baharu dalam bidang berkenaan dan beliau juga masih mengutip pengalaman yang dimiliki oleh bapanya serta masih mengikuti pengalaman luar selepas beliau berhenti dari belajar. Tentunya masih terlalu awal perasaan seronok itu wujud kerana masih baharu dan dia perlu belajar dari pengalaman bapanya dalam bidang berkenaan. Mungkin apabila pengalaman diperolehi itu mencukupi akan wujudlah perkembangan seterusnya.

Katanya lagi, buat masa sekarang beliau masih dan cuba mencari pasaran baharu dalam usaha memasarkan produk buah asam manis itu. Misalnya pasaran di Kota Bharu, beliau masih tahap permulaan memasarkan di kawasan tersebut. Mungkin dalam beberapa dekad lagi, pengguna akan mula perasan dengan produk itu.

Membicarakan tentang mengiklankan produk dalam mana-mana media seperti akhbar tempatan dan media sosial seperti Facebook, setakat ini pihaknya belum bergerak sejauh itu untuk memasarkannya melalui iklan. Hanya yang dilakukannya setakat ini adalah makluman dari mulut ke mulut sahaja.

Kata Aman seterusnya, buat masa sekarang produknya itu dipasarkan di kedai-kedai runcit sahaja. Dengan demikian, kebanyakan pengguna akan mendapatkan produknya itu di kedai-kedai runcit yang dimaksudkan. Bahkan setakat ini katanya, belum ada pengguna yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan produk buah asam manis itu. Mungkin suatu masa nanti, ada pembeli yang mengetahui tentang produk berkenaan secara jelas dan mungkin juga peruncit akan datang sendiri mendapatkan produk terbabit apabila telah mendapat pasaran yang baik.

Sesuatu yang menggembirakannya ialah apabila produknya itu sedikit demi sedikit mula mendapat maklum balas yang agak memuaskan di kalangan pembeli khususnya di kalangan pengguna-pengguna veteran walaupun dianggap masih baharu. Pengguna-pengguna berkenaan mendakwa produk buah asam manisnya itu agak enak, lazat dan berkhasiat berbanding dengan buah jeruk dari negara jiran.

Di samping para peruncit yang pernah menjual produknya itu juga mendakwa pembeli mula mengetahui produk buah asam manis itu dan setakat ini sambutannya amat memberangsangkan.

“Saya difahamkan, purata produk buah asam manis ini mendapat perhatian pembeli kira-kira dalam 200 botol sehari. Jika dihitung dalam tempoh sebulan mungkin lebih dari itu. Walau bagaimanapun, saya bersyukur dengan perkembangan itu dan berharap produk ini terus mendapat perhatian pengguna-pengguna secara berterusan”, ujarnya.

Di antara produk buah yang dipasarkannya meliputi campuran buah asam manis, buah betik, buah pauh (pauh kuning dan pauh hijau), buah salak, buah kedondong, buah mangga, buah jabit dan buah kelubi. Beliau sebenarnya memang berhasrat ingin menambah jumlah buah-buahan berkenaan berdasarkan kehendak dan citarasa pelanggan yang dianggap berbeza di antara satu sama lain.

Disebabkan permintaan di kalangan dan jumlah pembeli yang ramai menyebabkan pembekal buah-buahan di Pulau Pinang itu tidak dapat mengeluarkan produk berkenaan sebagaimana yang diharapkan. Malah katanya, jika hal berkenaan berjalan lancar, beliau pasti dapat mengadakan produk buah-buahan yang lain pula kerana penggemarnya berlainan citarasa.

Menurut Aman, kini dia menyasarkan produk buah asam manis ke beberapa buah kedai runcit di sekitar Wakaf Baharu, Tesco (Kota Bharu), stesen bas Lembah Sireh (Kota Bharu) dan pada bulan Ramadan 2014 baru-baru ini, beliau sendiri memasarkan produknya itu dengan membuka gerai jualan di Pasar Ramadan Wakaf Baharu, hospital dan di pejabat-pejabat kerajaan (kantin), gerai dan kedai-kedai makan. Sambutan gerai jualannya agak menggalakkan kerana produk buah asam manisnya itu boleh dijadikan makanan sampingan selepas berbuka dan bersahur.

Dari segi cita-citanya terhadap produknya itu, pada suatu masa nanti, beliau sememangnya mempunyai tekad untuk meluaskan lagi pasaran produk buah asam manisnya itu hingga ke luar Kelantan seperti ke Kuala Terengganu dan Pahang pula jika didapati sambutan ke atas produknya itu amat menggalakkan. Cuma, sekarang ini dia masih menyasarkan kepada pengguna setempat dan dalam negeri sahaja dan apabila sudah didapati agak kukuh mungkin hasratnya itu akan dilaksanakan nanti.

Justeru, apabila ditanya tentang usaha memasarkan produk buah asam manisnya itu secara bergerak dengan kenderaan. Beliau menjelaskan, setakat ini belum lagi timbul cita-cita seperti itu memandangkan beliau dalam bidang berkenaan agak baharu. Jika dilaksanakan, tentunya memerlukan kakitangan khusus. Namun, katanya buat ketika ini memadailah beliau sendiri sebagai pelaksana dan memasarkannya, namun hasrat hatinya ke arah itu memang ada jika diizinkan oleh Allah. 

Untuk pertanyaan dan tempahan, hubungi Mohd. Aman Azoha
Tel:  019-4566278

Mohd. Aman bin Azoha atau Aman.

Mohd. Aman ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Foto kenangan.


Sebahagian buah asam manis yang siap untuk dipasarkan.

Di antara buah asam manis dalam proses menampal pelekat pembungkusan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan