RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 1 November 2014

Pembuat Pisau Getah Tradisional


PEMBUAT PISAU GETAH TRADISIONAL

PASIR PUTEH, KELANTAN: Akibat harga getah merudum beberapa bulan yang lalu, bukan sahaja mendatangkan masalah kepada penoreh getah, namun pembuat pisau getah juga turut terpalit dan mengalami nasib yang sama. Salah seorang Pembuat Pisau Getah Tradisional, Yijid bin Deris atau Pak Jid Merkang dari Kampung Merkang, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF mengakui hakikat itu.

Ini katanya, sejak bulan Januari 2014 sehingga Oktober 2014, beliau sekadar menghasilkan pisau getah berkenaan hanya kira-kira 10 bilah saja berikutan kekurangan pelanggan, penyebabnya adalah masalah harga getah yang merudum sejak beberapa bulan yang lalu. Sebelum ini, nasibnya tidak sebagaimana hari ini yang semakin sukar menerima pelanggan. Biasanya, sementara sembang-sembang waktu tengah hari, dia akan menerima tetamu daripada penoreh-penoreh getah yang memintanya membuat pisau yang baru atau membaik pulihnya.

Menceritakan kerjayanya sebagai pembuat pisau getah tradisional, dia memulakan kerjayanya itu ketika berusia 35 tahun iaitu sejak 20 tahun lalu. Katanya, kemahirannya membuat pisau itu ketika menoreh getah di sebuah estet, apabila pisau toreh yang digunakannya itu meragam dan tidak begitu selesa untuk digunakannya atas sesuatu masalah, beliau akan menghentakkan pisau itu beberapa kali.

Pisau toreh yang dihentakkannya itu akan dibawa pulang. Setelah melihat apa yang kurang, beliau akan cuba mengubahsuai atau membaikinya di bahagian-bahagian tertentu menurut kadar kesesuaian dan keserasian sehingga pisau tersebut dapat digunakannya kembali dengan sempurna. Dari keadaan itulah, dia berfikir bahawa dia mampu membuat dan menghasilkan pisaunya sendiri menurut kebolehannya.

“Biasanya seseorang perlu belajar dari seorang guru atau orang yang mahir untuk mencipta sesuatu peralatan itu dengan baik dan sempurna. Tetapi pakcik tidak mempunyai guru sekalipun datuk saudara pakcik seorang tukang.

“Pakcik boleh buat sesuatu benda itu berdasarkan detik di hati, jika pakcik berasa boleh buat, pakcik akan berjaya membuatnya”, jelasnya.

Apabila ditanya tentang jumlah pisau yang pernah ditempah dan berjaya dihasikannya ketika beliau berusia 35 tahun dulu, jumlah beliau telah terima tempahan untuk membuat pisau berkenaan. Katanya, jika ada pihak yang ingin menempahnya, beliau dari awal lagi menolaknya. Namun, beliau akan membuatnya apabila individu terbabit membawa pisau itu untuk dibaiki. Tetapi seandainya jika ada pihak yang meminta beliau untuk membuatnya juga, beliau akan memenuhi permintaan itu dengan syarat individu terbabit membawa besi mereka sendiri.

Beliau menolak tempahan kerana bimbang barangannya akan terperap di rumah ataupun jika dijual di kedai sehingga menyebabkannya berkarat. Hal ini pernah disuarakan oleh salah seorang pakar membuat pisau getah tradisional dari Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh yang memintanya tidak menghasilkan pisau secara tempahan yang akan menyebabkan peralatan tersebut pastinya berkarat kerana tidak mendapat permintaan dari pengguna atau pembeli yang sering memilih.

Berikutan itu, jika ada individu yang meminta beliau membuatnya beliau akan memenuhi permintaan itu jika individu terbabit membawa besi sendiri. Setelah selesai dalam beberapa tempoh tertentu, barangan yang ditempah itu boleh diambil oleh pemiliknya dengan kadar segera, cara ini pastinya tidak akan mendatangkan masalah seperti berkarat kerana pemiliknya akan mendapatkannya dengan segera.

Katanya, beliau pernah membaik pulih pisau getah sebanyak 20 bilah sehari yang terdiri daripada beberapa pemilik dari Kampung Padang Lengkuas dan Kampung Pasir Akar. Kesemua pemilik pisau itu akan menggunakannnya dalam tempoh masa yang segera. Jadi, terpaksalah dia berkorban masa untuk menyiapkannya seberapa segera yang boleh.

“Pada masa dulu, pakcik pernah menerima dua guni penuh pisau getah yang perlu dibaik pulih oleh pemiliknya.

“Tetapi sekarang tiada lagi kenangan seperti itu disebabkan masalah harga getah dalam negara kini yang semakin merudum”, ujar Pak Jid.

Apabila ditanya tentang hakikat sekarang, adakah pemilik pisau getah pernah datang menemuinya untuk tujuan tersebut? Katanya, sekarang ini tiada langsung pemilik berkenaan yang ingin berbuat demikian berikutan masalah kejatuhan harga getah itu. Lazimnya sebelum ini, dia memperolehi pendapatan paling kecil RM30 sehari dan pernah juga sehingga RM100 sehari. Tetapi realiti sekarang adalah sebaliknya pula.

Pak Jid menambah, beliau mengenakan bayaran upah kepada pemilik pisau getah yang datang untuk membaik pulihnya dalam kadar RM6 sebilah, manakala jika pisau baharu pula dikenakan harga RM12 sebilah.

Bezanya harga dulu dengan sekarang, dia hanya mengenakan bayaran setiap bilah pisau dengan kenaikan sebanyak RM1 sahaja. Ini bermakna, harga upah membuat pisau pada masa dulu hanyalah RM5 sahaja. Dia meletakkan harga semurah itu kerana berasa kasihan terhadap penoreh-penoreh yang ingin mencari rezeki kepada keluarga. Jika meletakkan bayaran upahnya terlalu tinggi akan mendatangkan masalah kepada mereka pula.

Katanya, tempoh masa yang dikenakan terhadap setiap bilah pisau tersebut lazimnya di antara sehari sehingga dua hari sahaja dan kadang-kadang boleh diambil dengan segera jika pisau yang hendak dibaik pulih itu tidak bermasalah. Tetapi jika pemiliknya memerlukan pisau tersebut dalam jumlah yang banyak, misalnya sehingga 20 bilah beliau mengenakan tempoh masa sehingga lima (5) hari. Ini bermakna, hari yang kelima itu pemiliknya boleh datang mengambilnya.

Kata Pak Jid lagi, jenis besi yang paling tersohor dan sering digunakan oleh penoreh-penoreh getah ialah besi “sub motor” iaitu besi subsover kereta berwarna putih. Besi jenis ini katanya lebih tajam dari besi-besi lain. Keadaan ini amat sesuai bagi penoreh-penoreh getah yang terpaksa menoreh dalam jumlah pokok yang agak banyak. Ini menurutnya, besi dari sub motor ini amat tahan dengan keadaan air terutamanya jika terkena hujan semasa penoreh sedang menoreh getah tersebut.

“Kebanyakan pisau getah yang dijual di kedai sekarang ini dibuat dari “besi kahwin” yang tentunya mudah berkarat jika terdedah kepada udara dan tempias hujan yang agak lama, tidak sebagaimana besi sub motor itu.

“Malah kebanyakan pisau getah yang ada di pasaran sekarang datangnya dari China, Thailand dan buatan Malaysia sendiri yang ternyata mudah berkarat kerana menggunakan “besi kahwin”, ujarnya.

Menurut Pak Jid, pisau yang dibuat di negara China dengan buatan tempatan terutamanya secara tradisional amat berbeza. Walaupun, kebanyakan pisau dari negara berkenaan menggunakan teknologi “hidraulik” yang dikatakan agak canggih, namun kebanyakannya tidak dapat menandingi kaedah “tradisional” yang diguna pakai oleh kebanyakan pembuat-pembuat pisau getah itu.

Ini kerana, pembuatan secara tradisional terutamanya dari Kelantan sendiri yang lebih berhati-hati serta atas dasar jujur terhadap pemiliknya. Jadi, pemilik yang menggunakannya akan berasa puas hati kerana pisau yang digunakan oleh mereka lebih tajam dan tahan lama. Apatah lagi katanya, dia hanya membuat peralatan berkenaan yang agak kecil, memadailah secara tradisional, jika masih belum puas hati dia akan melakukannya sehingga orang ramai berasa puas hati.  

“Pakcik tidak akan membuat pisau itu dengan besi lain selain besi sub motor kerana banyak masalahnya terutamanya untuk membuatnya agak remeh. Malah kalau dibuat juga tidak akan tajam kerana sifat besi seumpama itu berbanding dengan besi sub motor”, katanya.

Katanya, sejak dari bulan Januari 2014 sehingga Oktober 2014 hanya kira-kira 10 orang pemilik yang datang ke rumahnya untuk tujuan supaya menghasilkan pisau seumpama itu, sedangkan sebelum ini tidak sebagaimana yang dialaminya sekarang ini. Walaupun pada masa dulu tersohor dengan “pisau samah (50 sen)”, namun penoreh-penoreh getah yang memintanya menghasilkan pisau sedemikian bagaikan tidak menang tangan.

“Biasanya dalam waktu-waktu tengah hari begini, kira-kira empat hingga lima orang yang datang meminta pakcik membuat pisau itu, berbanding kini yang semakin sukar.

“Pada hal, pada masa itu terdapat seorang lagi tukang mahir dari Kampung Padang Pak Amat. Namun, kebanyakan pemilik berkenaan lebih mempercayai pakcik supaya membuatnya”, ujar Pak Jid mengimbau kenangan pada masa dulu.

Pak Jid menjelaskan, setelah selesai membuat dan membaik pulih pisau itu dia akan menajamkan pisau-pisau berkenaan dengan menggunakan alat yang dikenali “canai”. Katanya, penggunaan peralatan seperti canai itu akan menjadikan besi akan lebih tajam dari sebelumnya. Sementara alat-alat lain yang digunakan seperti tukul besi (kini berusia lebih 100 tahun) termasuk pemegang besi yang sekali sekala sahaja digunakannya apabila perlu.

Membicarakan tentang saingan pula, setakat ini tiada lagi saingan pembuat pisau sepertinya. Di Kampung Merkang itu, hanya dia seorang sahaja tukang lama yang mahir dan berpengalaman membuat dan membaik pulih pisau getah tradisional itu sehingga hari ini.

Ditanya tentang pemberitahuan dan makluman sehingga beliau diketahui seorang tukang dan pembuat pisau getah yang berpengalaman sehingga hari ini, kebanyakan pemilik-pemilik pisau akan diberikan sekeping “kad perniagaan” setiap seorang yang datang ke rumahnya. Secara tidak langsung mereka akan mewar-warkannya kepada orang lain pula tentang kemahirannya membuat pisau getah itu. Walaupun dia belum pernah mengiklankannya dalam mana-mana media, namun memadailah dengan cara seperti itu akan menjadikan orang lain mengetahuinya dengan lebih mudah.

Yijid bin Deris atau Pak Jid Merkang.

Yijid Deris ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.



Salah satu pisau toreh yang telah dihasilkannya.





Di antara peralatan yang digunakan untuk membuat dan membaik pulih pisau toreh.

Kad perniagaan Yijid Deris.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 02 - http://siartv-2.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan