REZEKI SABUT KELAPA
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Perusahaan memproses sabut kelapa
sebenarnya ada potensi sebagai sumber rezeki keluarga yang jarang dilihat oleh
sesetengah pihak sebagai usaha yang boleh bergerak seiring dengan lain-lain
bidang jika diusahakan dengan tekun dan tawakal kepada Allah. Ini diakui
sendiri oleh salah seorang pengusahanya, Shafie bin Hussein, 60, atau lebih
dikenali Pak Ya Ayam dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan
baru-baru ini.
Katanya, dia dulunya adalah
seorang peniaga ayam, namun disebabkan sudah agak ramai yang menjadi peniaga di
bidang terbabit, membuatkan beliau berfikir untuk beralih arah pula.
Sehinggalah beliau melihat salah seorang pengusaha sabut kelapa terawal yang
berjaya dari Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu, menimbulkan ilham di hatinya
untuk menurut jejak pengusaha dari kampung itu dan setakat ini dia adalah
pengusaha kedua di Wakaf Baharu itu yang memulakannya sejak 1 Mei, 2014 lalu.
“Dulu, saya peniaga ayam. Ketika
memulakan projek ini memang agak sukar. Namun, apabila ada pembelinya, rasa gembira
itu mula timbul”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu.
Sejak dari tarikh itu, dia
mengusahakan perusahaan berkenaan di atas tanah miliknya sendiri dan hal
berkenaan menjadikan kelebihan buatnya di mana tempat memproses sabut kelapa
itu terletak di bahagian belakang kediamannya.
Kejayaannya dapat menjual sabut
kelapa yang siap diproses kepada pembeli setempat iaitu dari kampung yang sama
menjadi pembakar semangat untuknya mengorak langkah lebih jauh lagi.
Jiran-jirannya yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran selain pokok bunga
sering datang mendapatkan sabut kelapa itu sebagai baja. Walaupun dalam jumlah
yang sedikit, namun usahanya itu dianggap menemui kejayaan awal kerana telah
ada pembelinya.
Menurut Shafie, dia menjual sabut
kelapa itu dengan harga RM5 satu beg (kecil). Sabut kelapa berkenaan digunakan
oleh pekebun sayur-sayuran, buah-buahan dan penanam-penanam bunga sebagai baja yang menyuburkan pokok.
Ini kerana, penggunaan sabut kelapa yang telah siap diproses itu adalah
tindakan wajar kerana sayur-sayuran dan lain-lain tanaman akan tumbuh subur
dengan sabut kelapa itu walaupun terdapat baja-baja lain seperti baja kimia
untuk tujuan menambah kesuburan terhadap pokok terbabit.
Selain digunakan sebagai baja,
sabut kelapa juga boleh dibuat penyapu dan berus sabut dari jeraminya. Sementara sebahagian
jeraminya itu juga dijual kepada pengusaha kusyen kereta di Tok Bali,
Pasir Puteh, Kelantan. Bulu sabut kelapa itu dimasukkan di bawah kusyen
menggantikan span yang harganya jauh lebih mahal berbanding dengan sabut kelapa
yang berharga lebih murah malah tahan lebih lama.
Menurutnya, beliau membeli mesin
proses berharga RM13,000. Berdasarkan purata perbelanjaan membeli mesin
proses termasuk sabut kelapa itu dalam anggaran RM25,000. Perbelanjaan lain
yang dikira tetap ialah penggunaan elektrik 3 phase untuk proses tersebut.
Shafie menambah, longgokan
sabut-sabut kelapa itu akan melalui proses pengisaran yang dilakukan mesin
pengisar. Sabut kelapa itu dimasukkan ke dalam lubang pengisar dan dalam masa
beberapa minit sahaja, akan keluarlah hasilnya melalui dua saluran iaitu sabut
halus dan sabut yang kasar.
“Saya perolehi bekalan sabut
kelapa dari pengusaha kelapa, kadang-kadang saya perolehi dari beberapa
individu yang menjual sabut-sabut kelapa itu.
“Harga sabut kelapa itu adalah RM80 satu
kampit dan keseluruhannya berjumlah 6,000 yang dimuatkan dalam sebuah van.
Manakala baki kulit kelapa itu masih boleh digunakan. Kulit kelapa juga berguna
dan akan diproses apabila ada pihak yang ingin membelinya”, kata Shafie lagi.
Bercakap tentang saingan dalam
mengusahakan pemprosesan sabut kelapa itu, hanya dia dari Kampung Chenderong
Batu dan salah seorang pengusaha dari Kampung Kubang Batang sahaja yang
mengusahakannya. Malah dia menganggap pengusaha di kawasan itu sebagai model
untuknya berkecimpung dalam bidang yang sama.
“Selain pengusaha di Wakaf
Baharu, terdapat empat pengusaha di kawasan Bachok, Kelantan yang mengusahakan
sabut kelapa sepertinya” ujarnya.
Menurut Shafie, soal tenaga
pekerja untuk mengendalikan perusahaan tersebut sememangnya tidak menjadi
masalah. Ini kerana, dia turut dibantu oleh anak-anak dan ahli keluarganya yang
juga berminat dalam bidang yang sama.
“Perusahaan ini dibantu oleh
keluarga dan anak-anak saya sendiri. Saya sememangnya tidak mengupah pekerja
khusus, kerana anak-anak saya turut berminta dengan bidang ini”, katanya.
Shafie menambah, setakat ini
beliau masih belum mengiklankan perusahaannya itu dalam mana-mana akhbar
mahupun internet. Walau bagaimanapun, dia dalam proses membuat blog dan kad
perniagaan sendiri sebagai salah satu usaha mengiklankan perusahaannya itu
selain mewar-warkannya dari mulut ke mulut kepada penduduk-penduduk setempat.
“Perusahaan sabut kelapa ini
sebenarnya berdasarkan kepada musim-musim tertentu, misalnya musim penanaman
buah dan sayur-sayuran. Ini kerana, penanam-penanam tembikai dan timun akan
membeli sabut kelapa yang siap diproses itu dalam jumlah yang banyak sebagai
baja yang subur untuk tanaman.
“Lazimnya, sabut kelapa
menghadapi masalah kekurangan pembeli apabila berhadapan musim tengkujuh di
antara bulan-bulan Oktober hingga Disember setiap tahun dan akan kembali aktif
mulai bulan Januari tahun yang berikutnya.
“Misalnya di Kampung Kubang
Batang, saya melihat sendiri sabut kelapa dalam jumlah 600 beg dijual kepada
penggunanya tidak sampai tiga minggu untuk menunjukkan perusahaan berkenaan
laris dan ada potensinya untuk diperkenalkannya kepada umum”, jelasnya.
Bahkan dalam hal ini, beliau
menyarankan terutamanya kepada penanam-penanam buah-buahan dan sayur-sayuran
yang memerlukan baja yang agak subur dengan harga yang agak murah berbanding
dengan baja-baja yang lain diharapkan menggunakan sabut kelapa. Kalau ingin
menempahnya, boleh datang sendiri atau menghubunginya dan dia akan mula
memproses sabut itu menurut kehendak pembeli.
Justeru, biasanya orang-orang
kampung yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan dan tanaman bunga hanya
membelinya dalam kadar satu atau dua beg saja sabut kelapa itu. Namun, bagi
penanam-penanam komersial akan menempahnya sehingga 300 beg setiap kali
menanam.
Shafie bin Hussein atau Pak Ya Ayam boleh dihubungi di talian: 017-9747693
Shafie bin Hussein atau Pak Ya Ayam.
Shafie ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Longgokan sabut kelapa siap untuk diproses.
Sabut kelapa yang diproses menjadi baja.
Sebahagian sabut kelapa itu dijadikan jerami penyapu dan berus sabut.
Jerami sabut kelapa juga boleh dijadikan sebagai permaidani kusyen kereta.
Inilah mesin pengisar sabut kelapa yang berharga RM13,000.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=sKcOsOG0qgU
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=sKcOsOG0qgU
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Casino Site: Best Bet in South Africa - LuckyClub
BalasPadamRead our reviews of the latest casino site ➤ Sign Up and get your welcome bonus. Learn about bonus, the best slot games and promotions luckyclub and see how it's Rating: 4.7 · Review by Lucky Club