REZEKI BARANGAN TERBUANG
TUMPAT, KELANTAN: Barangan terbuang malah yang dibuang sesuka
hati ke dalam semak, perigi buta, tasik, sungai, ke dalam parit dan longkang
perlu diselenggarakan dengan sempurna supaya keadaan alam sekitar tidak terjejas untuk dinikmati oleh manusia. Tetapi syukurkah kerana ada pihak yang
menyelamatkan alam sekitar ini dengan usahanya mencari dan mengumpul barangan terbuang
dan telah dibuang itu lalu dibawa ke rumah untuk dijual di kilang. Secara langsung atau tidak, bukan
sahaja barangan terbuang itu terselamat dari terbiar lama menanti tadahan air
hujan atau dihanyutkan air ke kawasan-kawasan tertentu sehingga menjadi tempat
pembiakan nyamuk tiruk dan aedes yang akhirnya boleh mengancam nyawa manusia
pula.
Orang ramai di kalangan penduduk,
pemimpin-pemimpin masyarakat dan kerajaan khususnya sepatutnya mengucapkan
terima kasih kerana ada lagi di kalangan rakyat yang sanggup mencari barangan
terbuang untuk dijadikan sumber rezeki untuk keluarga mereka apatah lagi apabila dikatakan
barangan terbuang, banyak risiko yang perlu mereka hadapi terutamanya tentang kebersihan
barangan terbabit. Kerajaan patut membela dan memberikan perhatian terhadap golongan ini yang sanggup berbuat
demikian semata-mata tidak mahu dianggap “peminta sedekah” atau “pengemis
simpati” daripada orang ramai.
Salah seorang keluarga yang
ditemui Wartawan RELATIF, Mat Nordin bin Mamat, 59, atau lebih dikenali sebagai
Mat dari Kampung Padang Rokmo, Tumpat, Kelantan mengusahakan barangan terbuang
adalah salah satu kerja yang telah dilakukannya dalam usaha untuk memperolehi rezeki
halal buat keluarganya.
Katanya, disebabkan masalah perbelanjaan
keluarga yang terhad, beliau sanggup melakukan kerja seumpama itu walaupun
sebelum ini sudah banyak kerja yang pernah dilakukannya yang dianggap tidak
sesuai dengan kudratnya, akhirnya beliau memperolehi ketenangan apabila berjaya
mengusahakan barangan terbuang walaupun hasilnya dianggap cukup sebagai sumber
perbelanjaan untuk keluarganya.
“Pakcik dah banyak buat kerja,
tetapi semuanya tidak sesuai dengan kehendak hati. Jadi, dengan mengusahakan barangan
terbuang sedikit sebanyak dapat memuaskan hati.
“Tentang pendapatan dari jualan
barangan terbuang ini, Alhamdulillah bolehlah sebagai sumber pendapatan
keluarga”, katanya.
Maksud barangan terbuang ialah
barangan yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai agak kotor, kadang-kadang
dipenuhi dengan air bertakung, najis dan sebagainya terutamanya botol-botol
kaca. Namun, bagi Mat Nordin menganggap barangan yang dibuang ke dalam semak,
parit dan perigi itu boleh mendatangkan sumber kewangan yang tidak disangka
asalkan mahu meneruskannya ke arah itu, “hendak seribu daya, tak mahu seribu
dalih”.
Akhirnya, dengan berbekalkan
usaha dan menyisihkan sifat malu, beliau menguruskan hal itu dengan sempurna.
Barangan terbuang, terbiar dan dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab
dipungut olehnya lalu dibawa pulang. Setelah mengalami proses mencuci beliau
mula mengumpul lalu dibungkus ke dalam guni untuk dijual ke kilang-kilang
makanan dan minuman yang berdekatan.
Menurut Mat Nordin lagi, seguni
barangan terbuang itu adalah kira-kira 100 biji botol yang telah siap dibungkus
kemudiannya dijual kepada pihak kilang dengan harga RM10 seguni. Di antara
pihak kilang yang baik hati membeli botol beliau yang siap dicuci dan
berbungkus itu kemudiannya dihantar terus ke kilang seperti Kilang Budu Ismail Jusoh
di Pengkalan Kubor (Tumpat), kilang oren di Kampung Padang Rokmo (Tumpat),
sebuah kilang di Pasir Mas serta sebuah kilang membuat cuka di Wakaf Baharu
yang datang mengambil sendiri di rumahnya. Selain itu, terdapat di kalangan
orang ramai dan penduduk kampung yang datang menjual ke rumahnya, dalam
hubungan ini memudahkan dan mempercepatkan kerja-kerjanya menguruskan pembelian
dan penjualan botol-botol berkenaan ke kilang-kilang yang dimaksudkan.
Tambah Mat Nordin, botol-botol
yang telah berjaya diperolehinya kemudiannya dicuci terlebih dahulu di mana
empat tenaga kerja yang membantunya yang terdiri daripada ahli
keluarganya sendiri. Setelah botol-botol tersebut siap dicuci, kaedah akhirnya
ialah menjemurnya sebelum dimasukkan ke dalam guni-guni berkenaan dan lazimnya,
kira-kira lima
guni sehari botol-botol berkenaan berjaya diuruskan untuk dihantar
ke kilang-kilang yang dimaksudkan.
Apabila ditanya perihal keseronokan melakukan kerja-kerja yang terdedah dengan kekotoran itu, beliau menjelaskan tentang “seronok” memang ada
terutamanya apabila musim kemarau malah apabila musim hujan terpaksalah beliau
berehat. Jika hujan berpanjangan, maka pendapatannya juga terpaksa “rehat”.
Katanya menambah, kerja-kerja yang dilakukannya itu bolehlah menambah sedikit
pendapatan keluarganya daripada terperap di rumah menanti kerja lain.
Ditanya tentang pendapatan yang diperolehinya hasil menjual botol-botol terbuang itu, beliau tidak dapat memberikan purata sebenar.
Namun, menurutnya setakat ini pihak kilang sering dan tidak putus-putus datang
ke rumahnya mendapatkan barangan berkenaan yang menganggapnya sebagai "pembekal"
botol-botol kosong untuk kilang-kilang terbabit.
Katanya, walaupun sudah agak lama
beliau mengusahakan bidang tersebut, namun beliau tidak pernah berasa
gatal walaupun hakikatnya beliau sebenarnya berdepan dengan pelbagai
kemungkinan dalam kerjanya itu seperti gangguan nyamuk dan binatang berbisa
(ular). Walau bagaimanapun menurutnya, setakat ini beliau belum pernah
mengalami hal-hal yang sedemikian walaupun beliau telah agak lama berkecimpung
dalam mengusahakan barangan terbuang itu.
“Biasanya apabila pakcik siap
mencuci botol-botol terbuang itu di rumah, pakcik akan keringkan dulu sebelum
dibawa ke kilang.
“Manakala di kilang pula, pakcik
difahamkan setelah botol-botol berkenaan diterima oleh pihak kilang, pihak
kilang akan mencucinya sekali lagi sebelum diisi dengan air minuman dan
sebagainya”, ujar Mat Nordin apabila ditanya konsep pihak kilang setelah
menerima bekalan botol-botol kosong darinya.
Menurutnya, di antara botol-botol
yang dibawa ke kilang seperti botol-botol jenis kaca yang pernah sebelum ini
diisi dengan sos, tomato, budu, kicap ataupun minuman seperti oren, botol
minyak rambut, botol jem, madu dan sebagainya. Namun, beliau menolak
pengambilan botol-botol plastik, tin-tin makanan dan minuman kerana beliau
mengkhususkan kepada botol-botol kaca sahaja. Selain itu menurutnya, kilang berkenaan
juga menolak botol-botol yang pernah diisi dengan arak dan bahan-bahan yang
memabukkan dan haram di sisi Islam.
Menurutnya, setakat pengalamannya
sebagai pembekal botol-botol kosong kepada kilang, pihak kilang masih membeli
dengan harga lama iaitu harga yang tidak pernah berubah sejak negara kita
merdeka selama 57 tahun.
“Sepatutnya harga berkenaan telah
berubah beberapa kali sejajar dengan peningkatan harga minyak dan kenaikan
harga barangan runcit di pasaran.
“Sikap kedekut pihak kilang tidak
sepatutnya berlaku dan sudah tiba masanya kerajaan turut mengambil peranan
melihat perkara ini”, ujar Mat Nordin.
Beliau malas membuat komen
tentang harga berkenaan kerana bimbang jika dia mengadu kepada pihak kilang,
pihak kilang akan menghentikan pengambilan barangan terbuang itu daripadanya
dengan alasan pihak penjual barangan terbuang lain masih ramai lagi yang
sanggup memberikan tawaran lebih murah daripadanya. Bahkan katanya, jika
penjual barangan terbuang tempatan memboikot, pihak kilang akan memperolehi
bekalan botol-botol dari Thailand
dengan harga lebih murah lagi.
Dalam hal ini, untuk mengelakkan
barangan terbuang itu menjadi seperti longgokan sampah di rumahnya pula,
terpaksalah beliau menjualnya kepada pihak kilang dengan harga lama yang
dianggap paling murah. Memang baginya agak rugi dengan harga yang masih kekal seperti itu, namun apa boleh buat kerana itulah rezekinya untuk memberi makan kepada ahli keluarganya.
Justeru, beliau menyarankan
kepada orang ramai dan penduduk-penduduk kampungnya yang mempunyai bekalan
botol daripada dibuang begitu saja dan sewenang-wenangnya beliau sanggup
membelinya dan akan membawa barangan terbuang itu ke kilang supaya permasalahan
pembuangan barangan tidak terus berlaku sehingga mencacatkan pemandangan dan
alam sekitar.
Mat Nordin bin Mamat atau Mat.
Mat Nordin ketika ditemubual Wartawan RELATIF.
Di antara barangan terbuang yang mendatangkan rezeki kepada keluarga Mat Nordin.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan