RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Isnin, 20 Oktober 2014

Pembuat Alat Muzik Tradisional


PEMBUAT ALAT MUZIK TRADISIONAL

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Malaysia kaya dengan pelbagai jenis alat muzik tradisional yang meliputi Melayu, Cina dan India. Misalnya nama-nama alat muzik tradisional Melayu seperti Canang, Gendang, Gong, Kompang, Gambus, Rebana, Sape, Gedombak, Rebab, Sundatang, Geduk, Jidur, Kesi, Bonang Caklempong, Mong, Kenung, Angklung, Seron, Demung, Seruling dan Serunai.

Alat muzik tradisional Cina pula terdiri dari Erh Hu, Pipa dan Seruling. Manakala alat muzik tradisional India pula seperti Dholak, Tabla dan Veena.

Walaupun kita telah merentas zaman dengan wujudnya beberapa jenis alat-alat muzik moden, namun alat-alat muzik tradisional masih lagi digunakan dalam kebanyakan majlis seperti kenduri dan sebagainya walaupun sebahagiannya tidak lagi digunakan dan generasi hari ini kurang serta tidak lagi mengenalinya. Malah pembuatannya juga mungkin agak perlahan kerana tidak lagi menerima tempahan.

Di Kelantan sendiri misalnya, beberapa jenis alat-alat muzik tradisional Melayu seperti Gendang Silat, Gendang Mak Yong, Gendang Wayang Kulit, Gendang Dikir Barat, Seruling dan sebagainya masih digunakan di kebanyakan tempat walaupun ada di antaranya tidak lagi dikenali disebabkan tenggelam dimamah zaman, apatah lagi dengan ketiadaan penggiat sementelah pendengarnya juga lebih mengutamakan alat muzik moden yang dianggap lebih baik.

Walaupun zaman telah menenggelamkan peranan alat-alat muzik tradisional ini kepada umum, namun percayalah terdapat individu yang masih berusaha gigih dengan menghasilkan alat muzik tradisional itu yang hakikatnya golongan muda hari ini tidak lagi berminat dengannya.

Salah seorang pembuat alat muzik tradisional Melayu Kelantan yang mempelopori dan mewarisi arwah bapanya yang juga seorang pembuat alat muzik tradisional Kelantan yang agak tersohor iaitu Mohd. Zamili bin Mohd. Daud, 39, atau lebih dikenali sebagai Li Gendang dari Kampung Chenderong Batu Timur, Wakaf Baharu, Kelantan mengakui bahawa golongan muda hari ini tidak lagi berminat malah tidak mengenali beberapa jenis alat-alat muzik tradisional Kelantan. Setakat ini katanya, hanya dia seorang yang masih mewarisi bidang tersebut kerana sayang dengan peralatan terbabit yang pernah diguna dan dimainkan pada zaman dahulu. 

Mengenali Mohd. Zamili yang mendakwa, beliau memulakan kerjaya membuat alat muzik tradisional tersebut ketika masih lagi menuntut dalam Tingkatan Lima dan berusia 17 tahun.

“Pada awalnya, saya tidaklah begitu berminat dengan alat-alat muzik tradisional ini. Namun, ketika hayat bapa, saya sering membantunya untuk menghasilkan dan menyiapkan alat muzik itu.

“Bapa saya adalah pencipta asal alat muzik tradisional di kampung ini. Jadi, saya sebagai anak lelaki tunggal perlulah membantu meringankan kerja-kerjanya itu”, ujar Mohd. Zamili ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya yang dijadikan bengkel membuat alat muzik tradisional itu.

Katanya, dengan sekadar memberikan bantuan dan sering menolong kerja-kerja arwah bapanya ketika itulah timbulnya minat untuk mencipta alat muzik itu sendiri. Sehingga hari ini, beliau yang telah berkeluarga masih mencipta alat muzik tradisional tersebut malah tidak menang tangan kerana kerap menerima tempahan dari pelbagai pihak.

Di antara alat muzik tradisional yang dihasikannya seperti gendang silat, gendang mak yong, gendang wayang kulit dan dikir barat. Lazim menurutnya, beliau menjual alat muzik terbabit dan seperti selalu beliau membuatnya apabila menerima tempahan daripada individu, pihak persatuan mahupun badan kerajaan. Setakat ini menurutnya, tempahan terhadap alat muzik terbabit memang tidak putus-putus.

Bercakap soal harga alat muzik yang dijualnya, ia bergantung kepada keadaan barangan untuk membuat alat muzik itu seperti jenis kayu yang digunakan. Dari segi harga pula, misalnya satu set gendang dikir barat berharga RM1,700, gendang silat pula berharga RM1,800 dan RM2,000 (berdasarkan tambahan aksesori yang digunakan). Harga yang diperkenalkannya itu adalah harga standard yang dianggap berpatutan.

“Terdapat peningkatan harga dulu dan sekarang dalam kadar RM100 setiap jenis peralatan itu. Kenaikan ini disebabkan kenaikan harga barangan keperluan.

“Apatah lagi beberapa jenis kayu yang digunakan untuk membuatnya juga telah naik harga menurut situasi semasa”, katanya.

Menurut Mohd. Zamili, banyak jenis kayu yang boleh digunakan untuk membuat alat muzik tradisional seperti gendang silat. Namun, beliau menggunakan kayu nangka untuk membuat gendang tersebut. Selain itu, beliau juga menggunakan kayu sena iaitu dua jenis kayu yang tidak mudah pecah.
 
Apabila ditanya, kenapa menggunakan kayu nangka tetapi tidak menggunakan jenis-jenis kayu lain yang dianggap lebih kukuh dan tahan lama. Menurutnya, sejak arwah bapanya lagi sering menggunakan kayu nangka untuk membuat alat muzik tersebut. Walau bagaimanapun, sebab-sebab penggunaan kayu nangka kerana penggunaan kayu nangka kelihatan cantik dan menarik, tahan lama, bunyi pun sedap didengar berbanding kayu lain malah keadaannya agak ringan.

“Arwah bapa mula membuat alat muzik itu ketika usianya 50 tahun. Sebelum membuat alat muzik tersebut, arwah bapa akan meminta pendapat rakannya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum membuatnya”, katanya menambah.

Setelah menerima pendapat rakannya itu, adalah amat mustahil untuk arwah bapanya mencipta alat muzik itu di tempat orang. Ini kerana, timbul ilham di sanubari ayahnya daripada mencipta alat muzik di Kuala Lumpur, lebih baik memulakan kerjaya berkenaan di kampung halamannya sendiri. Bermula dari situlah, arwah bapanya mula membuat alat muzik tersebut di rumah pusaka di Kampung Chenderong Batu Timur  yang didiaminya dan diwarisinya pula olehnya sehingga sekarang.

Katanya menambah, beliau mewarisi kesinambungan yang ditinggalkan oleh arwah bapanya itu kerana generasi muda hari ini tidak begitu berminat dengan pembuatan alat-alat muzik tradisional itu. Bertolak dari saat itulah beliau memulakan tekad, daripada membiarkan diri tanpa sebarang usaha sedangkan kudrat masih ada, adalah tindakan terbaik supaya beliau mencubanya.

“Dalam usaha menghasilkan alat-alat muzik tradisional menggunakan kayu-kayu yang dikhaskan tidaklah terlalu sukar tetapi tidak juga terlalu senang. Namun, yang perlu ialah sifat sabar adalah tangga kejayaan.

“Maknanya, jika tiada sifat sabar sudah pasti terlalu sukar untuk menghasilkannya. Apatah lagi, alat-alat muzik tradisional agak terlalu unik (dari segi buatannya). Namun, bagi pendapat orang lain memberikan pandangan yang lain pula”, ujarnya.

Jelas Mohd. Zamili, beliau memperolehi ilmu membuat gendang dan alat muzik tradisional yang lain daripada arwah bapanya sendiri. Apatah lagi, sebagaimana yang pernah dimaklumkannya bahawa, ketika usianya 17 tahun dia sekadar membantu arwah bapanya sahaja. Bermula dari sekadar membantu, akhirnya minatnya timbul dan sehingga hari ini beliau masih meneruskan warisan arwah bapanya itu disebabkan permintaan terhadapnya agak tinggi.

“Buat masa sekarang tempahan terhadap alat muzik tradisional ini masih diteruskan dan saya sendiri tidak menang tangan untuk menyiapkannya”, tambah Mohd. Zamili.

Manakala dari segi kualiti pembuatannya pula, sejak dari arwah bapanya sehingga beliau sendiri mengambil alih peranan itu, kebanyakan pelanggan yang pernah menempah memberitahu agak berpuas hati kerana mutunya masih tetap seperti dulu juga.

“Di antara negara-negara yang pernah menempah alat muzik berkenaan terdiri dari Thailand, Singapura dan kebanyakan pelanggan yang kerap menempahnya terdiri daripada warga tempatan.

“Kebanyakan pelanggan saya meliputi semua. Namun, di antara pelanggan itu pula paling ramai di kalangan individu yang masih berminat terhadap alat muzik tradisional”, jelas Mohd. Zamili apabila ditanya tentang pelanggan yang pernah menempah alat-alat muzik tradisional itu.

Lazim menurutnya, setelah beliau selesai membuatnya beliau akan memaklumkannya melalui telefon kepada pelanggan yang menempahnya tentang barangan tersebut telah siap dan dengan demikian kebanyakan pelanggan yang pernah menempahnya akan datang sendiri untuk mengambilnya.  

Beliau pernah menerima pujian daripada pelanggan yang menganggapnya berpuas hati dengan pembuatannya yang agak kemas dan standard. Pelanggan-pelanggan berkenaan pastinya tidak akan berpindah kepada pembuat yang lain dan setahunya orang yang sama pernah menempah daripadanya beberapa kali, untuk menunjukkan pelanggan-pelanggannya itu menggemari barangan yang dibuatnya.

“Setakat ini, saya belum pernah membuat sebarang iklan sama ada dalam akhbar, internet mahupun media sosial untuk mempromosikan alat muzik tradisional ini. Namun, masyarakat mengetahuinya daripada beberapa pembeli dan rakan-rakan saya sendiri yang menyebarkannya dari mulut ke mulut”, ujar Mohd. Zamili.

Walau bagaimanapun menurut Mohd. Zamili, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian juga berperanan menyebarkan maklumat tentang kemahirannya membuat alat muzik itu kepada umum. Kebanyakan individu pembeli mengetahui beliau membuat alat muzik daripada sebaran yang dibuat oleh agensi kerajaan itu. Tidak kurang juga yang mengetahuinya dari rakan-rakannya yang turut sama berperanan mewar-warkannya kepada orang ramai dan penduduk kampung.

Akhir bicara, beliau memberitahu bahawa alat-alat muzik tradisional yang diciptanya itu pernah beberapa kali memasuki sayembara kebudayaan anjuran pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) seperti sambutan hari kemerdekaan dan sebagainya.

Untuk tempahan, Mohd. Zamili boleh dihubungi di talian: 019-9161741

Mohd. Zamili bin Mohd. Daud atau Li Gendang.

Mohd. Zamili ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kediamannya.





Sebahagian alat muzik tradisional yang baharu siap.






Peralatan mesin yang digunakan untuk membuat alat muzik tradisional.

Kediamannya dijadikan bengkel membuat alat muzik tradisional.

Tonton Video:


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

1 ulasan:

  1. assalamualaikum bolh saya dapatkn nombor telefon dan alamat pembuat kompang tak...?? tujaun saya untuk melakukan tugasan asigment dan saya pelajar di UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN BACHOK

    BalasPadam