TERNAKAN IKAN KELI
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Penggemar ikan keli sememangnya agak ramai
jika dihitung dengan jumlah pasaran ikan tersebut sendiri. Disebabkan hal
berkenaan, penternak ikan berkenaan dianggap tidak menang tangan apabila permintaan
terhadapnya semakin bertambah setiap bulan. Disebabkan itulah, penternak ikan
keli sebenarnya “pening kepala” untuk memenuhi permintaan daripada pembeli
apabila setiap kali bulan Ramadan (bulan puasa) menjelang, bekalan ikan keli
perlu ditambah. Jika tidak berbuat demikian, akan ada pembeli yang hampa kerana
hasrat mereka untuk mendapatkannya kadang-kadang tidak kesampaian. Puncanya,
kekurangan benih-benih ikan dari pihak penternak.
Salah seorang penternak dan
Pengusaha Ikan Keli yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Mat Sukor bin Dollah,
48, atau tersohor dengan panggilan Abe Mat dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf
Baharu, Kelantan mengakui hakikat itu bahawa, penternak ikan sepertinya sering
kehabisan benih ikan tersebut. Ini menurutnya, kira-kira lima bulan menjelangnya bulan puasa ikan-ikan
keli yang ada di kolamnya habis ditempah. Jika tidak dapat menghitung kesemua
ikan-ikan berkenaan, pastinya kolam berkenaan tinggal kosong disebabkan
ikan-ikan habis dijual. Puncanya, kesukaran untuk mendapatkan benih-benih ikan
terbabit dan hal seumpama ini pernah dialaminya bebeberapa kali disebabkan hal
berkenaan.
Menurut Mat Sukor, projek
ternakan ikan kelinya bermula pada tahun 2006. Projek tersebut pada awalnya adalah
sebagai hobi masa lapang semata-mata, namun setelah ikan berkenaan semakin
matang, buat kali pertama beliau menjual ikan-ikannya itu kepada pembeli yang
terdiri daripada restoran dan kedai-kedai makan serta individu di sekitar Wakaf
Baharu itu. Dengan tidak disangkanya, dari pemerhatiannya mendapati projek yang
dianggap sebagai hobi itu memberikan pulangan yang agak lumayan juga. Bertolak
dari situlah, dari sekadar hobi semata-mata kemudiannya timbul minat.
Akhirnya setelah difikir dan
dihalusi, disebabkan projek berkenaan memberikan pulangan yang agak menarik
sedangkan modalnya agak rendah apatah lagi projek sedemikian rupa-rupanya dapat
membantu mengatasi beban rezeki keluarganya sedangkan sebelum ini dia tidak terfikir
tentang itu.
Mat Sukor menambah, purata
pendapatan yang diperolehinya hasil jualan ikan kelinya itu di antara RM400
hingga RM500 sebulan dianggap sudah memadai baginya dengan jumlah ikan keli
yang ada di dalam kolamnya yang berjumlah 20 buah kolam itu.
“Saya dapatkan bekalan benih akan
ikan dari Kampung Julok, Banggol, Kota Bharu yang saya beli dari seorang usahawan
terkenal Kelantan bernama Raja Azhar.
“Sebuah tempat lagi di sebuah
kampung di Pasir Mas yang dikenali Pak Chong (berasal dari Kedah) iaitu
individu pertama yang memperkenalkan benih ikan berkenaan di Kampung Chenderong
Batu ini”, katanya.
Katanya, perbelanjaan membeli
benih anak ikan itu berdasarkan saiz anak ikan itu sendiri. Kira-kira 15,000
ekor anak ikan keli dibelinya untuk tujuan projek ternakan ikan sebanyak 20
kolam itu. Ikan-ikan ini pula dikira berdasarkan ukuran saiznya, iaitu jika saiz
2 inci berharga RM0-06 sen, manakala jika saiz 3 inci berharga RM0-08 sen.
Menurutnya, harga berkenaan dikira secara rawak dan bukannya harga pasaran.
Menurut Abe Mat, setelah
memperolehi benih ikan tersebut, ikan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam kolam.
Ikan itu dianggap matang dan boleh dipungut apabila berusia 4 bulan. Dalam usia
ini, hanya separuh dari ikan yang ada dalam kolam berkenaan boleh ditangkap
untuk dijual. Bermakna, jika ikan yang ada dalam kolam itu berjumlah 1,000
ekor, kira-kira separuhnya iaitu 500 ekor darinya boleh ditangkap untuk dijual.
Kaedah ini dibuat adalah disebabkan ikan yang ada dalam kolam berkenaan
mempunyai pelbagai saiz. Katanya, usia ikan yang boleh dijual itu adalah
kira-kira 4 bulan dianggap telah matang dengan beratnya kira-kira 250 gram
seekor.
“Bukan usaha saya sendiri untuk
mendapatkan benih-benih ikan, pihak Kada pernah memberikan bantuan anak-anak
ikan kepada saya selama tiga tahun sekali sejak beberapa tahun yang lalu.
Selain kerajaan negeri Kelantan sendiri yang memperuntukan bantuan benih ikan
pada tahun 2009”, ujarnya.
Katanya, baru-baru ini beliau
telah membuat permohonan benih ikan kepada pihak Kada Kota Bharu. Namun,
setakat ini beliau belum menerima sebarang perkembangan sama ada permohonannya
itu telah diluluskan ataupun ditolak, namun beliau kemudiannya menerima
perkembangan itu bahawa permohonannya sedang dalam proses.
Kemudian menurutnya, kira-kira
tiga kali beliau didatangi oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani tetapi sekadar datang menjenguknya sahaja tetapi tiada sebarang hasil yang
beliau perolehi. Dari pemerhatiannya, pihak kementerian terbabit bukan ingin
menolongnya sebagai pemohon di kalangan berpendapatan rendah sebaliknya sekadar
untuk melihatnya sahaja.
Apa yang diketahuinya, pihak
berkenaan sebenarnya ingin melaksanakan “projek ternakan ikan berkelompok” di
Kampung Berangan, Tumpat. Beliau memaklumkan kepada pihak kementerian supaya
membatalkan projek tersebut kerana dibimbangi membazirkan sumber kewangan. Ini
kerana, penternak yang diambil oleh pihak terbabit terdiri daripada golongan
yang tidak berminat terhadap projek tersebut.
“Jika pihak Kementerian
bersungguh-sungguh untuk meneruskan projek itu, saya minta supaya membina kolam
di belakang rumah saya dan melantik saya sebagai pengendalinya.
“Dengan cara ini, saya boleh
dapatkan individu dalam kampung ini yang mampu dan benar-benar dapat
menguruskan projek ini supaya berjalan lancar dan tidak membazir”, jelasnya.
Kata-katanya itu memang ada
benarnya apabila pembinaan kolam di kawasan yang dimaksudkan untuk projek itu
tidak sampai dua bulan, akhirnya terbengkalai begitu saja. Nilai barangan dan
peruntukan untuk projek tersebut berharga ribuan ringgit ditinggalkan di tempat
itu dan usaha pihak berkenaan ternyata gagal kerana tiada perancangan khusus ke
arah itu. Selepas itu, beliau menghalang pihak berkenaan untuk datang ke
rumahnya lagi kerana bimbang berlaku sebagaimana yang terjadi di Kampung
Berangan itu kerana kegagalan pihak kementerian terbabit gagal menguruskan
projek yang bernilai ribuan ringgit itu.
“Kalau pihak kmenterian enggan
memberikan bantuan benih ikan, memang tiada masalah. Sebaiknya pihak kmenterian
menghulurkan bantuan dalam bentuk tunai, saya mampu mendapatkan benih-benih
ikan itu melalui banyak cara.
“Cara ini lebih baik daripada
sekadar membuat “kajian” dan melaksanakan projek yang akhirnya membazir wang
beribu ringgit, sedangkan projek yang dijalankan gagal”, katanya dengan nada
tidak puas hati kerana saranannya tidak dipedulikan oleh pihak kementerian
tersebut.
Akhir sekali pihak Fama pula
datang ke rumahnya untuk melaksanakan “projek berkelompok” sebagaimana yang
pernah dilakukan oleh pihak Kada sebelum itu. Pihak berkenaan membuat kajian
tentang jumlah hasil yang diperolehi dalam masa empat bulan. Keputusan hasil
kajian pihak Fama dari projek yang diuruskannya tidak sampai nilai satu tan
pun. Ini bermakna, projek tersebut hanya menelan belanja dari semua projek yang
akan dijalankan adalah kecil sahaja.
“Kebanyakan ikan-ikan saya
jualnya kepada pemborong ikan terkenal tadi bernama Raja Azhar. Pihak mereka
datang sendiri ke sini. Selepas itu, ikan-ikan berkenaan saya jual di sekitar
Wakaf Baharu seperti dijual di Pasar Wakaf Baharu dan juga individu yang membeli
terus dari saya.
“Tentang pasaran ikan saya tidak
bimbang sangat, sebaliknya apa yang merunsingkan saya ialah bekalan ikan tidak
mencukupi”, ujarnya.
Katanya, kejadian bekalan ikan
tidak mencukupi sering berlaku kira-kira lima
bulan sebelum bulan puasa. Ketika itu permintaan agak tinggi di mana pembeli
sering menambah kuantiti belian menyebabkan bekalan ikan yang dimaksudkan
sentiasa habis.
Contohnya, lazim berlaku jika
sebelum ini bekalan dibeli kira-kira 10,000 ekor apabila tibanya bulan puasa
mereka akan menambah pembelian sebanyak 20,000 ekor untuk tujuan bulan puasa.
Ini bermakna, jika ada individu ingin membelinya atau jika beliau sendiri
berhasrat ingin menjualnya kepada pembeli di kalangan pengusaha restoran dan
kedai-kedai makan sememangnya tidak tercapai. Disebabkan berlaku hal yang
sedemikian, beliau akan menjualnya di mana saja yang ikan yang masih berbaki
walaupun jumlahnya tidak seberapa.
Tambah Mat Sukor, lazimnya
individu yang datang membeli ikan berkenaan adalah terdiri daripada pengusaha-pengusaha
kedai makan. Biasanya pihak berkenaan membeli kira-kira tiga kilogram sehari.
Namun, lazimnya peniaga-peniaga berkenaan jarang datang ke kolamnya untuk
mendapatkan hasil yang segar sebaliknya dibeli dari penjual-penjual ikan
terbabit yang memperolehi bekalan darinya sendiri.
“Saya menjual ikan-ikan keli
dengan harga RM5 sekilo, sebaliknya penjual ikan akan menjualnya kepada pembeli
lain dengan harga RM7 sekilo. Ini bermakna, peniaga ikan memperolehi lebih
keuntungan dari harga yang dijualnya”, ujarnya sambil ketawa.
Apabila ditanya, adakah harga
ikan sekilo sebanyak RM5 itu agak murah jika dibandingkan dengan harga-harga
ikan lain yang kini semakin meningkat. Beliau menjelaskan, sememangnya harga
tersebut paling murah jika dibandingkan dengan harga-harga ikan dari pengusaha
lain khususnya ikan-ikan laut. Namun, itulah yang dapat dilakukannya disebabkan
penternak ikan keli dalam kolam tidak ada persatuan yang dapat membantu dan
membela kebajikan penternak-penternak sepertinya.
Ditanya, berapakah nilai sebenar
yang patut dijual oleh beliau sebagai penternak ikan keli kepada pembeli.
Katanya, harga ikan itu sepatutnya dijual paling rendah sebanyak RM7 sekilo
sama seiring dengan harga ikan-ikan dari laut kerana beliau juga terpaksa
membeli makanan-makanan ikan dan perlu memeliharanya dengan cermat, jika tidak
ikan-ikan akan kurus dan mati.
Kalau ikan-ikan dari laut
sentiasa menghadapi masalah harga pasaran, beliau juga menghadapi masalah yang
sama. Apatah lagi, jika dibandingkan pihak nelayan kini memperolehi subsidi
dari pihak kerajaan, sedangkan beliau sebagai penternak di darat tidak pernah
memperolehi bantuan seumpamanya. Ini jelas, apabila permohonannya sebelum ini
untuk mendapatkan bantuan benih ikan juga masih gagal diperolehi sehingga hari
ini.
Misalnya, untuk mendapatkan
makanan ikan seperti usus ayam itu beliau terpaksa menampung minyak kenderaan
ke tempat yang dimaksudkan, apatah lagi kadang-kadang makanan dari usus ayam
itu sekarang ini bukan lagi boleh diperolehi secara percuma, kesemuanya beliau
perlu mengeluarkan modal yang secukupnya.
Membicarakan tentang
makanan-makanan yang patut diberikan kepada ikan-ikan keli tersebut, pada
peringkat awal beliau memberikan ikan-ikan tersebut makanan khusus dikenali
“palet” (makanan ikan diproses secara teknologi dalam bentuk biji) yang
dibelinya di kedai di mana makanan ini diberikan kepada ikan dalam masa
sebulan.
Dalam tempoh masa 1 (satu) hingga
2 (dua) minggu, ikan diberikan makan palet kecil. Manakala dari tempoh 2 (dua)
minggu hingga sebulan pula, ikan-ikan akan diberikan palet besar. Selepas itu,
beliau memberikan perut dan usus ayam sahaja. Menurutnya, usus dan perut ayam
amat mudah diperolehinya daripada tukang sembeli ayam yang diperolehinya di
pasar-pasar yang berdekatan.
“Nisbah penggunaan palet dengan
jumlah 2,000 ekor ikan dianggarkan kira-kira RM50 sahaja. Jumlah ini kecil
disebabkan ada alternatif lain iaitu penggunaan usus ayam itu tadi sebagai makanan ikan”, katanya.
Menurutnya, jika digunakan palet
secara berterusan kepada ikan, keuntungannya sukar diperolehi atau akan
memperolehi kerugian jika dihitung dengan jumlah ikan itu. Cuma menurutnya,
usus dan perut ayam itu perlu diikhtiarkan supaya bekalannya tidak tertangguh
memandangkan ikan-ikan keli perlu memperolehi makanan secara berterusan.
Tentang daging-daging ikan juga
amat berbeza di antara ikan-ikan yang diberikan makanan ikan yang dibeli di
kedai dengan pemberian usus dan perut ayam. Ini kerana, ikan-ikan yang memakan
usus dan perut ayam keadaan dagingnya agak berlemak.
Sebaliknya ikan-ikan yang memakan
palet atau makanan khusus untuk ikan, keadaan dagingnya normal. Namun, makanan
seumpama ini perlu diberikan sepanjang masa. Bahkan ikan yang dijual juga akan
meningkat kepada RM7 bergantung kepada nilai harga makanan itu berbanding
dengan penggunaan usus dan perut ayam.
Sebaliknya, supaya daging ikan
menjadi keras dari kebiasaan kerana tidak semua citasara penggemar ikan kelinya
itu gemar kepada dagingnya yang berlemak, ketika ikan berkenaan akan dijual
ikan-ikan itu akan diberikan garam, menjadikan tubuh dan daging ikan-ikan
tersebut agak kental sedikit apabila digoreng.
“Lazimnya ikan-ikan keli yang
sudah matang boleh dimuatkan dalam satu-satu kolam iaitu kira-kira 700 hingga
800 ekor sahaja supaya ikan-ikan berkenaan sihat dan dapat bergerak bebas di
dalam kolam tersebut. Bahkan terdapat dalam sebuah kolam boleh memuatkan
kira-kira 1,000 ekor dan 2,000 ekor ikan”, ujarnya.
Berdasarkan keadaan kolam yang
dibinanya itu, purata keseluruhan ikan-ikan keli yang ada di kolamnya itu
berjumlah 40,000 ekor dan modal yang dikeluarkan untuk hal berkenaan kira-kira
RM2,000. Bermakna, apabila ikan berusia 4 bulan, sebahagian ikan dalam kolam
itu boleh dijual, jika dalam sebuah kolam menempatkan 1,000 ekor, separuh dari
ikan-ikan itu boleh dijual kepada pembeli.
Berhubung penggunaan air dalam
satu-satu kolam bagi ternakan ikan keli tidak memerlukan air yang banyak kerana
ikan-ikan keli mampu bernafas walaupun dalam keadaan air yang keruh. Ini kerana
menurutnya, ikan keli mengandungi liang untuk menyedut oksigen terletak di atas
kerana ikan keli mempunyai dua insang, salah satunya insang berbentuk bulat
yang bertindak sebagai penapis oksigen.
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, Mat
Sukor atau Abe Mat boleh dihubungi
di talian: 013-9744645
Mat Sukor bin Dollah atau Abe Mat.
Abe Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF.
Wartawan RELATIF bersama Abe Mat (tengah) dan salah seorang rakannya.
Inilah kolam di antara 20 kolam ikan keli milik Abe Mat.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 02 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=IYs1DUmeK68
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=IYs1DUmeK68
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan