TOK SELEHOR
TUMPAT,
KELANTAN:
TOK SELEHOR atau dikenali juga "Tok Selehong" adalah singkatan nama atau gelaran kepada Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman yang merupakan
seorang ulama besar bertaraf wali dari Tanah Melayu yang berasal dari Kelantan.
Tok Selehor dilahirkan di Kampung Lubok Jong di pinggir Sungai Selehor pada
tahun 1871 Masihi yang kini dikenali Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan.
Tentang pembelajaran Al-Quran
pula, disebabkan bapanya yang merupakan seorang Guru Al-Quran, memudahkan Tok
Selehor mempelajari kitab berkenaan dari bapanya sendiri. Selepas itu, Tok
Selehor telah dihantar oleh bapanya untuk menuntut ilmu di Pondok Tuan Guru
Haji Abdul Malik di Kampung Sungai Pinang.
Selepas itu, Tok Selehor belajar
lagi di Pattani (Siam) selama tujuh (7) tahun dengan Tuan Guru Haji Abdul
Rashid, Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdullah Tok Jong, Bendang Jong.
Sekembalinya Tok Selehor dari Pattani (Siam),
beliau menyambung pelajaran ke Mekah pula selama 18 tahun untuk mendalami
pelajaran itu di sana.
Sekembalinya Tok Selehor dari
Mekah, beliau telah membuka pondok di tepi Sungai Selehor pada tahun 1340
Hijrah. Hakikatnya, Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang
seperti Fekah, Usuluddin dan sebagainya namun bidang yang sangat diminatinya
ialah “Tasauf”.
Menurut bekas Penghulu Kampung
Kok Pasir, Palekbang, Tumpat, Kelantan, Che Yusof Che Ibrahim, 61, atau Pak Soh
ketika ditemui Wartawan RELATIF berkata, Tok Selehor adalah pengasas pondok. Katanya, Haji Abdul Malik dari
Pondok Sungai Pinang adalah guru pertama Tok Selehor.
“Kebanyakan pondok di beberapa
jajahan di Tumpat seperti di Kampung Kok Pasir sendiri, Kampung Kok Keli dan
Kampung Laut adalah beberapa kawasan pondok yang pernah mendapat khidmat Tok
Selehor sebagai Tok Guru. Maknanya, peranan utama di kawasan Tumpat itu
dimainkan oleh Tok Selehor”, jelas Pak Soh.
Pak Soh menambah, selepas
mendapat pendidikan dari gurunya, Haji Abdul Malik di Kampung Sungai Pinang,
Tok Selehor melangkah jauh ke Pattani (Siam)
untuk menimba ilmu di sana.
Selepas itu, Tok Selehor menyambung pelajaran ke Mekah pula. Kira-kira 18 tahun
di Mekah, Tok Selehor pulang ke Kampung Kok Pasir yang kemudiannya membuka
pondok dalam kawasan makamnya kini. Manakala Masjid Tok Selehor adalah
diasaskan sendiri oleh Tok Selehor. Selain pondok, Tok Selehor juga mewujudkan
madrasah. Pondok terawal yang diasaskan oleh Tok Selehor sendiri dikenali
Pondok Darul Hanan.
Terdapat kira-kira 30 buah pondok
yang diwujudkan oleh Tok Selehor. Salah seorang murid utamanya, Haji Abbas yang
merupakan atuk kepada Haji Mansor yang merupakan bekas ahli eksco kerajaan
negeri Kelantan dulu. Manakala murid-muridnya dari luar Kelantan (luar Kampung Kok
Pasir) yang datang menimba ilmu seperti dari Palembang (Haji Marzuki) dan Champa.
Sambung Pak Soh lagi, pendekatan
dakwah yang digunakan oleh Tok Selehor menyamai dakwah Wali Songo (Wali
Sembilan) dikenali Sunan Kalijaga. Malah Tok Selehor juga pada masa itu seorang
yang banyak ilmunya dalam fatwa. Selain minat Tok Selehor terhadap seni silat
dan bermain keris, Tok Selehor juga mahir dalam bersyair dan membaca buku-buku
sastera lama.
Menariknya tentang Tok Selehor
ialah beliau membina “satu lubang’ di atas makamnya dikenali “Suluk Tok
Selehor” sebagai tempatnya solat dan berkhalwat untuk tujuan menginsafkan diri
dan mengingatkan tentang kematian.
Tempat bersuluk Tok Selehor
berbentuk empat segi dengan ukuran 7:7 (tinggi 7 dan dalam 7, tangga 7 batang).
Suluk ini pada masa dulu adalah tempat Tok Selehor “berkhalwat”. Misalnya Nabi
S.A.W pernah berkhalwat di Gua Hira’,
begitu jugalah dengan Tok Selehor menjadikan suluk itu tempatnya berkhalwat
seperti untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
Menurut Pak Soh lagi, di zaman
Tok Selehor pernah ada di kalangan penduduk kampung yang mengemukakan soalan
kepada Tok Selehor tentang hukum menagih dadah. Ini kerana, di dalam Al-Quran
dan hadis hanya dijelaskan tentang meminum arak, berjudi dan merokok yang
ternyata memabukkan dan melesukan fikiran, tetapi bagi dadah pula tidak
dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadis tentang itu.
Persoalan berkenaan tidak dijawab
oleh Tok Selehor secara pantas. Lantas Tok Selehor akan bersuluk untuk mencari
ilham. Apabila Tok Selehor telah mendapat ilham, baharulah diberikan jawapan
tentang hukum menagih dadah itu.
Di antara murid Tok Selehor
yang tersohor dan sezaman dengannya seperti Haji Abdul Rahman Abdullah (Tok
Badol). Haji Abdul Rahman berasal dari Pattani (Siam). Katanya, jika Tok Selehor
memerlukan kuda, Haji Abdul Rahman akan pulang ke Pattani lalu mendapatkan kuda
yang dimaksudkan itu. Di antara murid-murid Tok Selehor yang lain terdiri dari Haji
Che Mamat dari Kampung Kok Keli. Kesemua murid Tok Selehor kini sudah
kembali ke rahmatullah.
Di antara bidang yang diajarkan
kepada murid-muridnya seperti Tasauf, Fekah dan Silat. Cara dakwah Tok Selehor
kepada masyarakat kampung pada ketika itu ialah mendekati masyarakat dengan
menyelami dalam hati penduduk di kawasan terbabit. Jika penduduk berkenaan leka
dengan masalah membuang masa dengan permainan sehingga melalaikan waktu solat,
Tok Selehor akan mendekati masyarakat terbabit dengan memberitahu setelah
selesai dengan permainan, kerjakanlah solat apabila telah masuk waktunya dan
permainan itu boleh disambung balik.
Sebagai seorang pendakwah yang
dekat dengan Allah S.W.T, Tok Selehor kerap berdakwah secara lemah lembut dan
berbudi bahasa, kerana cara berkenaan akan mudah dihayati bahkan masyarakat
yang menerima dakwah itu akan berasa malu terhadapnya untuk melakukan
perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Satu sifat lagi Tok
Selehor adalah seorang ulama yang bermulut masin.
Pernah berlaku satu kejadian,
seorang yang mencuci sebuah tempayan di tebing sungai. Dengan tiba-tiba
tempayan tersebut bergolek. Apabila dilihat oleh Tok Selehor, Tok Selehor
berkata orang terbabit pastinya menjadi “gila” kerana cuai sehingga tempayan
yang dicuci jatuh ke sungai. Dengan izin Allah, orang yang dimaksudkan itu
tiba-tiba menjadi sasau dan gila.
Tok Selehor pernah memagar
kampung terbabit, mungkin untuk mengelak sesuatu masalah yang tidak diingini
kerana pada masa itu Kelantan pernah didatangi penjajah Inggeris dan Jepun malahan
pernah juga askar Siam
ke tempat terbabit. Kawasan Tumpat dan khususnya Kampung Kok Pasir tidak
terkecuali. Menariknya, di zaman Tok Selehor walaupun penjajah asing pernah
menjajah kawasan terbabit namun tidak pernah berlaku pertumpahan darah dan
peperangan. Bermakna, masyarakat kampung berkenaan hidup dalam keadaan aman
kerana tiada gangguan daripada penjajah yang dimaksudkan.
Ketika Tok Selehor belajar di
Pattani, berlaku kejadian pelik ketika gurunya meminta wang satu ringgit kerana
ingin mengadakan majlis Maulidur Rasul pada hari esoknya. Pada malam yang sama
Tok Selehor pulang meminta duit itu dengan ayahnya di Kampung Kok Pasir.
Peliknya, bagaimana Tok Selehor pulang dan kembali ke Pattani dalam masa yang
sepantas itu?
Keadaan masyarakat kampung di
zaman Tok Selehor boleh dikatakan hidup dalam keadaan aman tanpa wujudnya
persengketaan dan bermasam muka apatah lagi tuduh-menuduh dan hidup
berpuak-puak yang sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan sesama sendiri.
Tok Selehor sendiri tidak pernah bermain parti politik kerana sebelum merdeka
masih belum wujud parti politik. Salah satu sebabnya masyarakat kampung pada
ketika itu menghormati ulama sebagai pemimpin mereka.
Berkat doa daripada Tok Selehor
menjadikan Kampung Kok Pasir dalam keadaan aman sentosa sehingga hari ini.
Bahkan menurut Pak Soh, ketika zaman remajanya, beliau pernah ingin mengadakan persembahan dikir
barat. Tetapi apabila diketahui oleh Tok Selehor, tiap kali persiapan selesai untuk mengadakan persembahan itu, pastinya
hujan turun dengan lebat. Tiap kali juga dia terpaksa membatalkan persembahan
sedemikian kerana hujan agak lebat. Ini bermakna, doa seorang ulama yang
bertarap wali akan dimakbulkan oleh Allah dengan segera. Doa itu mungkin untuk
keamanan masyarakat kampung, namun apabila melanggarnya bahana pasti tiba.
Tok Selehor menghembuskan
nafasnya pada malam Khamis, 20 Februari, 1935 (18 Zulkaedah 1353) dalam usia 64
tahun sebagai seorang ulama besar yang berstatus wali yang bersahabat akrab
dengan Tok Kenali.
Banyak jasa Tok Selehor terhadap
Islam, Institusi Ulama serta sejarah Islam Tanah Melayu terutamanya di Kampung
Kok Pasir, Palekbang, Tumpat, Kelantan. Sehingga hari ini, keadaan kampung
berkenaan dalam keadaan aman dan sentosa. Walaupun penjajah Jepun dan British di
Tanah Melayu kerap menjajah tempat-tempat lain sebagai laluan pihak berkenaan
namun tidak di kampung berkenaan sewaktu hayat Tok Selehor. Sesuatu yang paling
menarik di Kampung Kok Pasir, penduduk di kampung ini mesra terhadap tetamu
yang datang berkunjung untuk menunjukkan keberkatan Allah terhadap wali-Nya itu
dapat pula dinikmati oleh semua penduduknya pula.
Justeru, amat jelas kisah yang
serba ringkas tentang Tok Selehor boleh dijadikan panduan bahawa hormatilah
alim ulama kerana merekalah pemimpin sebenar umat yang akan memacu umat itu
mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Che Yusof bin Che Ibrahim atau Pak Soh.
Pak Soh ketika ditemubual Wartawan RELATIF di Kampung Kok Pasir.
Bergambar kenangan.
Masjid Tok Selehor bersebelahan dengan makamnya.
Wakaf Tok Selehor. Tempat Tok Selehor mengajar muridnya (anak panah).
Suluk Tok Selehor.
Makam Tok Selehor.
Pusara arwah bapa Tok Selehor.
Makam Haji Abbas (murid utama Tok Selehor, dimakamkan bersebelahan Makam Tok Selehor).
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube -https://www.youtube.com/watch?v=W3pMcCLj1J0
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan