PRODUK BUAH CAMPURAN
WAKAF BAHARU, KELANTAN:
Kebanyakan masyarakat Kelantan sememang menggemari buah-buah asam sama ada
dimakan begitu saja atau dijadikan sebagai “colek”. Dilihat tentang
perkembangan colek buah-buahan asam berkenaan begitu popular di kalangan
masyarakat negeri ini sejak dahulu, maka buah-buah asam itu kemudiannya
dijadikan “jeruk” sama ada menggunakan garam dan sebahagiannya menggunakan “ibu
gula”.
Namun, konsep baharu yang
diperkenalkan kini apabila ada pembekal buah-buah asam berkenaan yang berjaya
mencipta satu resipi khusus sehingga pengguna yang pernah memakannya berasa
agak berbeza sebagaimana kaedah colek itu. Buah-buahan asam manis yang
diusahakan dan diperkenalkan oleh pengusaha dan pembekal dari Pulau Pinang itu
kini telah berjaya menambat hati pengguna dan penggemar buah asam itu apabila
produk berkenaan begitu laris di pasaran sehingga memberikan ilham kepada
beberapa pihak untuk berkongsi memasarkannya pula kepada penggemar-penggemar
yang ada di sesebuah negeri itu.
Individu pertama yang memasarkan
buah asam manis di Kelantan telah memulakan produk berkenaan sejak tahun 2012
lagi. Malah sehingga hari ini pasaran produk buah asam manis itu bertukar
tangan apabila diambil alih pula oleh anaknya yang giat mempromosikannya di
beberapa tempat di Kelantan kerana menurutnya produk buah asam manis itu turut
diminati oleh pengguna dan penggemar-penggemar di negeri ini khususnya di
kalangan wanita. Namun, siapa sangka buah asam manis itu juga turut diminati
oleh kebanyakan lelaki terutamana golongan veteran kerana rasanya yang enak dan
lazat.
Ketika ditemui oleh Wartawan
RELATIF di kediaman individu pertama yang dimaksudkan itu, Mohd. Aman bin
Azoha, 26, atau lebih dikenali dengan Aman dari Kampung Belukar, Wakaf Baharu,
Kelantan memang mengakui hakikat itu.
“Sejarah permulaan yang
mengusahakan produk buah asam manis ini adalah dari bapa saya sendiri. Bapa
menyatakan, produk ini ada potensi untuk diketengahkan kepada pengguna dan
penggemar yang pada anggapannya agak ramai”, katanya ketika menerima kunjungan Wartawan
RELATIF dan Jurufoto di kediamannya yang terletak di kampung itu.
Katanya, usaha yang dimulakan
oleh bapanya sejak dua tahun lalu iaitu pada tahun 2012 itu sebenarnya
membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka berikutan tiada pihak lain yang
bersungguh-sungguh untuk memasarkan produk seumpama itu. Jadi menurutnya,
sebelum pasaran produk berkenaan dipintas oleh orang lain menyebabkan bapanya
mengusahakannya sebaik mungkin sehingga hari ini.
Katanya, pada ketika itu minatnya
terhadap bidang itu sudah mula berputik apabila melihat kejayaan bapanya
mendapatkan pembeli dan penggemar dengan mudah walaupun dalam masa yang
sesingkat itu. Namun, disebabkan kekangan pelajarannya pada ketika itu
menyebabkan dia menangguhkannya terlebih dahulu. Kini apabila beliau sudah
bebas dari ikatan pelajaran, pastinya dia akan menggalas tugas itu menurut
jejak bapanya sebagai pembantu dan penggerak utama untuk memasarkan produk buah
asam manis tersebut.
“Kami mendapat bekalan buah asam
manis ini dari Pulau Pinang. Bekalan buah asam manis dari negeri itu memang
tersohor kerana ramai penggemarnya berkata seperti itu. Saya agak, penggemarnya
bukan di Kelantan saja tetapi seluruh Semenanjung.
“Peranan kami ialah membungkus
produk buah asam manis itu untuk dipasarkan kepada pengguna yang
menggemarinya”, katanya.
Menurut Aman, dia mendapatkan
bekalan buah asam manis itu secara borong melalui tempahan. Manakala dalam
konteks bayaran pula, kadang-kadang pihaknya membuat bayaran separuh dari
bekalan itu. Setelah ada pasaran dan buah asam itu mula mendapat perhatian
pembeli, dari wang tersebut beliau akan melunaskan bayaran seterusnya untuk
mendapatkan tempahan yang baharu pula.
Katanya menambah, beliau membuat
tempahan dengan pembekal buah asam manis itu dan dalam beberapa hari saja,
bekalan buah asam manis itu tiba di Kota Bharu melalui bas. Di Kota Bharu
beliau mendapatkannya untuk dibawa pulang. Tugas yang perlu beliau lakukannya
ialah dengan membeli gelas plastik, mencetak bungkusan dan label kemudiannya
diedarkan kepada beberapa kedai runcit berdekatan.
“Sebotol buah asam manis itu
dijual kepada peruncit dengan harga RM2, kemudiannya peruncit akan
menjualkannya kepada pembeli dengan harga RM2-50. Bermakna peruncit mendapat
untung sebotol sebanyak 50 sen”, ujar Aman lagi.
Apabila ditanya tentang
cita-citanya dalam bidang perniagaan seperti itu, beliau berkata, dalam keadaan
sekarang beliau masih baharu dalam bidang berkenaan dan beliau juga masih
mengutip pengalaman yang dimiliki oleh bapanya serta masih mengikuti pengalaman
luar selepas beliau berhenti dari belajar. Tentunya masih terlalu awal perasaan
seronok itu wujud kerana masih baharu dan dia perlu belajar dari pengalaman
bapanya dalam bidang berkenaan. Mungkin apabila pengalaman diperolehi itu
mencukupi akan wujudlah perkembangan seterusnya.
Katanya lagi, buat masa sekarang
beliau masih dan cuba
mencari pasaran baharu dalam usaha memasarkan produk buah asam manis itu.
Misalnya pasaran di Kota Bharu, beliau masih tahap permulaan memasarkan di
kawasan tersebut. Mungkin dalam beberapa dekad lagi, pengguna akan mula perasan
dengan produk itu.
Membicarakan tentang mengiklankan
produk dalam mana-mana media seperti akhbar tempatan dan media sosial seperti
Facebook, setakat ini pihaknya belum bergerak sejauh itu untuk memasarkannya
melalui iklan. Hanya yang dilakukannya setakat ini adalah makluman dari mulut
ke mulut sahaja.
Kata Aman seterusnya, buat masa
sekarang produknya itu dipasarkan di kedai-kedai runcit sahaja. Dengan
demikian, kebanyakan pengguna akan mendapatkan produknya itu di kedai-kedai
runcit yang dimaksudkan. Bahkan setakat ini katanya, belum ada pengguna yang
datang ke rumahnya untuk mendapatkan produk buah asam manis itu. Mungkin suatu
masa nanti, ada pembeli yang mengetahui tentang produk berkenaan secara jelas
dan mungkin juga peruncit akan datang sendiri mendapatkan produk terbabit
apabila telah mendapat pasaran yang baik.
Sesuatu yang menggembirakannya
ialah apabila produknya itu sedikit demi sedikit mula mendapat maklum balas
yang agak memuaskan di kalangan pembeli khususnya di kalangan pengguna-pengguna
veteran walaupun dianggap masih baharu. Pengguna-pengguna berkenaan mendakwa
produk buah asam manisnya itu agak enak, lazat dan berkhasiat berbanding dengan
buah jeruk dari negara jiran.
Di samping para peruncit yang
pernah menjual produknya itu juga mendakwa pembeli mula mengetahui produk buah
asam manis itu dan setakat ini sambutannya amat memberangsangkan.
“Saya difahamkan, purata produk
buah asam manis ini mendapat perhatian pembeli kira-kira dalam 200 botol
sehari. Jika dihitung dalam tempoh sebulan mungkin lebih dari itu. Walau
bagaimanapun, saya bersyukur dengan perkembangan itu dan berharap produk ini
terus mendapat perhatian pengguna-pengguna secara berterusan”, ujarnya.
Di antara produk buah yang
dipasarkannya meliputi campuran buah asam manis, buah betik, buah pauh (pauh
kuning dan pauh hijau), buah salak, buah kedondong, buah mangga, buah jabit dan
buah kelubi. Beliau sebenarnya memang berhasrat ingin menambah jumlah
buah-buahan berkenaan berdasarkan kehendak dan citarasa pelanggan yang dianggap
berbeza di antara satu sama lain.
Disebabkan permintaan di kalangan
dan jumlah pembeli yang ramai menyebabkan pembekal buah-buahan di Pulau Pinang
itu tidak dapat mengeluarkan produk berkenaan sebagaimana yang diharapkan.
Malah katanya, jika hal berkenaan berjalan lancar, beliau pasti dapat
mengadakan produk buah-buahan yang lain pula kerana penggemarnya berlainan
citarasa.
Menurut Aman, kini dia menyasarkan
produk buah asam manis ke beberapa buah kedai runcit di sekitar Wakaf Baharu,
Tesco (Kota Bharu), stesen bas Lembah Sireh (Kota Bharu) dan pada bulan Ramadan
2014 baru-baru ini, beliau sendiri memasarkan produknya itu dengan membuka
gerai jualan di Pasar Ramadan Wakaf Baharu, hospital dan di pejabat-pejabat
kerajaan (kantin), gerai dan kedai-kedai makan. Sambutan gerai jualannya agak
menggalakkan kerana produk buah asam manisnya itu boleh dijadikan makanan
sampingan selepas berbuka dan bersahur.
Dari segi cita-citanya terhadap
produknya itu, pada suatu masa nanti, beliau sememangnya mempunyai tekad untuk
meluaskan lagi pasaran produk buah asam manisnya itu hingga ke luar Kelantan
seperti ke Kuala Terengganu dan Pahang pula jika didapati sambutan ke atas
produknya itu amat menggalakkan. Cuma, sekarang ini dia masih menyasarkan
kepada pengguna setempat dan dalam negeri sahaja dan apabila sudah didapati
agak kukuh mungkin hasratnya itu akan dilaksanakan nanti.
Justeru, apabila ditanya tentang
usaha memasarkan produk buah asam manisnya itu secara bergerak dengan
kenderaan. Beliau menjelaskan, setakat ini belum lagi timbul cita-cita seperti
itu memandangkan beliau dalam bidang berkenaan agak baharu. Jika dilaksanakan,
tentunya memerlukan kakitangan khusus. Namun, katanya buat ketika ini
memadailah beliau sendiri sebagai pelaksana dan memasarkannya, namun hasrat
hatinya ke arah itu memang ada jika diizinkan oleh Allah.
Untuk pertanyaan dan tempahan, hubungi Mohd. Aman Azoha
Tel: 019-4566278
Mohd. Aman bin Azoha atau Aman.
Mohd. Aman ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Foto kenangan.
Sebahagian buah asam manis yang siap untuk dipasarkan.
Di antara buah asam manis dalam proses menampal pelekat pembungkusan.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM