TERNAKAN IKAN PATIN
TUMPAT, KELANTAN: Ikan patin dan
ikan keli adalah kedua-dua spesis ikan yang berlainan, tetapi kedua-duanya
mempunyai daya tahan terhadap air yang berkelodak dan berbau. Kedua-dua spesis
ikan ini juga mudah membiak dengan cepat walaupun hidup dalam air seumpama itu.
Namun, dalam konteks sebagai hidangan makanan, segelintir manusia akan memilih
antara keduanya. Ada
yang mendakwa, ikan patin lebih lazat. Walau bagaimanapun, ada individu lain
yang berpendapat ikan keli lebih enak dimakan disebabkan mutu daging ikan-ikan
tersebut.
Walau bagaimanapun pendapat
tentang kedua-dua spesis ikan tersebut, terdapat di kalangan penternak ikan
yang juga mempunyai pendapat yang berbeza. Terdapat di kalangan penternak yang
mendakwa lebih baik menternak ikan keli. Namun, terdapat juga yang berkata,
lebih baik menternak ikan patin kerana menternak ikan patin lebih untung
disebabkan seekor ikan patin beratnya sekilo. Manakala satu tong ikan keli
beratnya baharu sekilo.
Mungkin hal seumpama ini yang
menjadi pilihan seorang penternak ikan patin dalam kolam, Abdul Rahim Abdullah dari Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF
di kediamannya baru-baru ini.
Katanya, beliau mula menternak
ikan patin dalam kolam pada tahun 2008, selepas bersara dari Tenaga Nasional
Berhad (TNB). Katanya, kolam itu sebenarnya adalah parit dan saliran milik Lembaga Pertanian Kemubu (Kada)
yang tidak lagi digunakan (terbiar). Menurutnya, daripada tinggal terbiar
begitu saja, adalah lebih bermanfaat bagi beliau mengusahakan parit dan saliran
yang terbiar itu dengan ternakan ikan. Pihak Kada sendiri yang melakukan
kerja-kerja menambak dan membuat batas kolam tersebut bagi kemudahan penternak
sepertinya.
Menurut Abdul Rahim, apabila
pihak Kada mengetahui niat seseorang penternak itu ingin menternak ikan, pihak
Kada telah memperuntukkan benih ikan keli secara percuma berjumlah 2,000 ekor
sebagai modal. Namun, disebabkan ikan keli baginya agak cerewet dalam banyak perkara
menyebabkan beliau menukarnya kepada ternakan ikan patin. Salah satu sebab
jelas ialah ikan keli yang mempunyai sifat makan anak dan hal berkenaan
tentunya amat menyusahkannya. Dianggarkan ikan patin yang diternak di kolamnya itu berjumlah 20,000 ekor.
“Ternakan ikan patin mempunyai
pulangan yang baik, banyak untung dari pelbagai sudut sama ada dari segi
pasaran. Malah, sekilo berat ikan patin baharu seekor sahaja berbanding ikan
keli yang beratnya sekilo dalam jumlah yang banyak (satu tong).
“Satu sifat lagi bagi ikan patin
ialah mudah membiak apabila sampai tempoh dan benih ikan patin apabila
dimasukkan ke dalam kolam hanya menunggu masa matang untuk pungut hasil, tidak
perlu penjagaan khusus sebagaimana ikan keli yang agak cerewet”, ujarnya kepada
Wartawan RELATIF di kediamannya yang letaknya bersebelahan dengan kolam ikan
patin miliknya itu.
Katanya menambah, makanan ikan
patin juga paling ringkas juga sebagaimana ikan keli. Beliau memberikan ikan
patinnya usus ayam sahaja kerana makanan berkenaan mudah diperolehi apatah lagi
secara percuma yang diberikan oleh peniaga-peniaga ayam yang dikenalinya.
Menurut Abdul Rahim, kalau terpaksa membeli makanan ikan tentunya memerlukan
perbelanjaan yang banyak untuk tumbesaran ikan-ikan tersebut. Tetapi dengan
hanya memberikan usus ayam, bukan sahaja tumbesaran ikan agak cepat, namun
paling penting perbelanjaannya secara percuma.
Menurutnya lagi, ikan patin akan
mencecah usia matang dan boleh dipungut untuk dijual setelah berusia lima bulan dengan berat
setiap seekornya ialah sekilo. Ketika ini tumbesaran ikan patin bertambah segar
dan keadaan dagingnya yang lazat bagi penggemar ikan-ikan terbabit. Usia
matang ikan patin untuk dipungut agak lambat dua bulan berbanding dengan ikan
keli, namun kebanyakan penggemar ikan akan memilih ikan patin.
“Berbanding dengan ikan keli,
setahu saya penjual ikan tidak begitu berminat dengan ikan-ikan keli yang agak
terlalu besar berbanding dengan ikan patin”, ujarnya.
Persoalan memasarkan ikan
tidaklah begitu menyulitkannya walaupun pada hakikatnya beliau sendiri tiada
pengalaman sebagai penjual ikan. Ini kerana, lazimnya pemborong ikan patin akan
datang sendiri ke rumahnya untuk mendapatkan ikan-ikan patinnya itu yang
dijualnya secara borong dan dengan demikian dia tidak perlu bersusah-payah
untuk memasarkannya sendiri.
“Ini bermakna, menternak ikan
patin begitu mudah malah memasarkannya juga begitu senang kerana pihak
pemborong akan dapat mengetahui siapa yang menternak ikan dalam kolam”,
jelasnya.
Apabila pemborong ikan yang
sering datang ke rumahnya dan kini telah dikenalinya bertahun-tahun lamanya,
dia akan menjualnya kepada pemborong itu dengan harga borong iaitu RM4 sekilo.
Manakala pemborong itu pula akan menjualnya kepada pembeli dengan harga
RM6 sekilo. Malah kadang-kadang ada juga
individu yang datang membeli ikan patin di kolamnya, dia akan menjualnya dengan
harga RM6 sekilo.
“Pasaran ikan-ikan patin tidak
pernah putus dan pembelinya sentiasa ada sekiranya ikan-ikan masih ada dalam
kolam. Hanya peranan pemboronglah untuk memasarkan setiap ekor ikan dari kolam
saya ini”, katanya.
Menurut Abdul Rahim, setahunya
kebanyakan individu yang datang membeli ikan patin di kolamnya akan memasaknya
untuk keluarga. Namun, kebiasaan ikan patin yang dijual kembali kepada
gerai-gerai ikan, lazimnya ikan-ikan patinnya itu akan dibeli oleh pihak
restoran untuk dijual kepada pelanggan yang singgah di kedai dan restoran
mereka.
Apabila ditanya tentang jumlah
kolam yang dibina pihak Kada di Kampung Menjual itu, menurutnya terdapatnya 11
buah kolam yang sesuai untuk ternakan ikan dalam kolam. Namun, hanya dia seorang
saja yang menternak ikan patin yang turut mendapat perhatian pihak Kada itu.
Manakala kolam-kolam lain dikhususkan kepada ternakan ikan keli. Apatah lagi,
dalam jumlah 11 kolam itu, hanya tiga buah kolam ikan saja yang masih aktif
menternak ikan termasuk kolamnya sendiri.
“Pihak Kada tidak bertindak
sebagai penjual atau memasarkan ikan dari penternak kerana tiada unit yang
dikhususkan ke arah itu. Apatah lagi, jumlah penternak ikan di kolam di kampung
ini tidaklah begitu ramai. Jadi, perlulah penternak itu sendiri yang berusaha
memasarkannya”, jelas Abdul Rahim.
Menurut Abdul Rahim, jika
dikatakan kedua-dua spesis ikan seperti ikan patin dan ikan keli memang kedua-duanya
tahan dengan pelbagai masalah walaupun keadaan air dalam kolam itu berkelodak, keruh dan berbau. Namun, jika dilihat dalam konteks pembiakan baka, ikan patin begitu
cepat membiak berbanding dengan ikan keli.
“Saya tidak pernah terlihat ikan
keli menetaskan anak berbanding dengan ikan patin dalam kolam. Tetapi, saya
pernah lihat ikan patin menetaskan anak-anak yang begitu banyak dan membiak
begitu cepat.
“Dalam hal ini, saya dapat lihat
kolam ikan patin saya ini sentiasa bertambah dengan ikan baharu dan dapat
ditafsirkan, ikan patin lebih memberikan keuntungan kepada penternak daripada
ikan keli”, jelas Abdul Rahim lagi.
Ditanya tentang jumlah ikan patin
yang masih berbaki di kolamnya, beliau tidak dapat memberikan jumlah dan
anggaran berikutan ketika ini beliau tidak turun ke kolam ikannya itu. Namun,
ikan yang ada dalam sangkar di kolamnya sekarang ini siap untuk dipasarkan kepada
pembeli dan pemborong ikan. Manakala ikan yang bebas dalam kolamnya itu masih
dalam usia muda dan mungkin beberapa bulan lagi bolehlah dipasarkan.
“Biasanya, ikan patin dapat
dikeluarkan dari kolam dalam anggaran 3,000 ekor bergantung kepada permintaan
dari pemborong dan pembeli terbabit”, ujar Abdul Rahim.
Apabila membicarakan tentang
citarasa daging ikan, lain orang lain pula citarasanya. Katanya, bagi yang
biasa menjadikan ikan patin sebagai juadah setiap hari tentunya rasanya agak
lazat berbanding dengan ikan lain terutama ikan keli. Namun, baginya ikan patin
amat lazat jika dimasak dengan tempoyak dan resipi seumpama ini amat tersohor
di kalangan penggemar ikan patin.
“Amat berbeza di antara ikan
patin yang diternak dalam kolam dan yang diperolehi dari sungai. Mungkin
disebabkan keadaan, suasana habitat kehidupan ikan itu sendiri yang membezakan
kedua-duanya.
“Dari segi harganya, ikan patin
sungai amat mahal yang mungkin berdasarkan keadaan dagingnya yang berkeadaan
seperti itu dan mungkin juga ikan patin sungai tidak berbau tidak sebagaimana
ikan patin yang diternak dalam kolam”, jelasnya.
Menurutnya, kebanyakan benih ikan
patin berkenaan diperolehi dari Negeri Perak. Pemborong di Kelantan akan pergi
ke Perak apabila ada tempahan dari penternak ikan patin. Manakala dari segi
harga benih pula ialah 15 sen (1 ekor), jadi penternak akan memaklumkan jumlah
yang dikehendaki, pemborong akan ke sana
untuk mendapatkan bekalan benih ikan patin itu. Jika dibandingkan dengan benih
ikan keli tentunya berbeza, kerana harga benih ikan keli lebih murah sekitar 8
sen atau 10 sen (1 ekor).
Katanya, ikan patin yang diternak
dalam kolam yang terdedah tidak menyukarkan penternak apabila berlaku limpahan
air dalam kolam berkenaan akibat hujan lebat atau sebagainya. Berbanding dengan
ikan keli, apabila kolam melimpah ikan keli akan berebut-rebut untuk
meninggalkan kolam itu menurut aliran air yang telah melimpah itu.
“Ikan patin ni agaknya bodoh
sikit berbanding ikan keli. Walaupun air melimpahi kolam, ikan patin tidak cuba
melarikan diri meninggalkan kolam itu. Ikan itu masih setia dalam kolam itu”,
katanya yang membezakan antara ikan patin dan ikan keli sambil ketawa.
Apabila ditanya tentang jumlah
jualan ikan patin yang pernah dibuatnya dalam tahun 2014 ini. Katanya, dia
tidak dapat memberikan jumlah sebenar. Namun, apa yang diketahuinya ikan patin
yang telah berjaya dikeluarkan dari kolamnya telah melebihi 5,000 ekor dan
beliau menjualnya secara borong kepada pemborong dengan harga RM4 sekilo.
Katanya, kebanyakan pemborong
ikan akan mendapatkan ikan patin di kolamnya, kemudian mereka akan
memasarkannya di sekitar Wakaf Baharu seperti di Pasar Wakaf Baharu, restoran
dan kedai makan termasuk juga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Tentang
pasaran ikan ini, dia hanya berharapkan peranan kepada pemborong semata-mata
untuk memasarkannya kepada pembeli yang berminat.
Abdul Rahim menambah, lazimnya
pemborong ikan saja yang datang ke kolamnya untuk mendapatkan ikan-ikan tersebut
untuk tujuan pasaran. Walau bagaimanapun, terdapat juga di kalangan individu
yang pernah menempah ikan dari kolamnya untuk sesuatu majlis seperti kenduri perkahwinan, dia akan
menghantarkannya sendiri tempahan itu. Biasanya mereka menempah ikan patin
dalam lingkungan 40 hingga 50 kilo setiap kali tempahan dibuat.
Ditanya tentang pertandingan
memancing pula, beliau menjelaskan, semperna dengan penubuhan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung
Menjual itu sebelum ini, pernah diadakan pertandingan memancing ikan pada tahun
2005 dulu. Sambutan pemancing agak menggalakkan dengan hadiah hamper. Tetapi
jika sekarang ini, dia menganggap tidak begitu larat dari segi modal, kecuali
jika ada penaja yang sanggup menaja pertandingan itu berkemungkinan dia akan
memikirkannya semula.
Abdul Rahim Abdullah atau Abang Him boleh dihubungi di talian:
09-7197383
Abdul Rahim Abdullah atau Abang Him.
Abdul Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Bergambar di tepi kolam ikan patin miliknya.
Inilah kolam ikan patin yang diusahakan oleh Abdul Rahim Abdullah.
Ikan patin.
Sumber foto: www.mancingmania.com
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM