RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 20 Disember 2014

Ternakan Ikan Patin


TERNAKAN IKAN PATIN


TUMPAT, KELANTAN: Ikan patin dan ikan keli adalah kedua-dua spesis ikan yang berlainan, tetapi kedua-duanya mempunyai daya tahan terhadap air yang berkelodak dan berbau. Kedua-dua spesis ikan ini juga mudah membiak dengan cepat walaupun hidup dalam air seumpama itu. Namun, dalam konteks sebagai hidangan makanan, segelintir manusia akan memilih antara keduanya. Ada yang mendakwa, ikan patin lebih lazat. Walau bagaimanapun, ada individu lain yang berpendapat ikan keli lebih enak dimakan disebabkan mutu daging ikan-ikan tersebut.

Walau bagaimanapun pendapat tentang kedua-dua spesis ikan tersebut, terdapat di kalangan penternak ikan yang juga mempunyai pendapat yang berbeza. Terdapat di kalangan penternak yang mendakwa lebih baik menternak ikan keli. Namun, terdapat juga yang berkata, lebih baik menternak ikan patin kerana menternak ikan patin lebih untung disebabkan seekor ikan patin beratnya sekilo. Manakala satu tong ikan keli beratnya baharu sekilo.

Mungkin hal seumpama ini yang menjadi pilihan seorang penternak ikan patin dalam kolam, Abdul Rahim Abdullah dari Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya baru-baru ini.

Katanya, beliau mula menternak ikan patin dalam kolam pada tahun 2008, selepas bersara dari Tenaga Nasional Berhad (TNB). Katanya, kolam itu sebenarnya adalah parit dan saliran milik Lembaga Pertanian Kemubu (Kada) yang tidak lagi digunakan (terbiar). Menurutnya, daripada tinggal terbiar begitu saja, adalah lebih bermanfaat bagi beliau mengusahakan parit dan saliran yang terbiar itu dengan ternakan ikan. Pihak Kada sendiri yang melakukan kerja-kerja menambak dan membuat batas kolam tersebut bagi kemudahan penternak sepertinya.

Menurut Abdul Rahim, apabila pihak Kada mengetahui niat seseorang penternak itu ingin menternak ikan, pihak Kada telah memperuntukkan benih ikan keli secara percuma berjumlah 2,000 ekor sebagai modal. Namun, disebabkan ikan keli baginya agak cerewet dalam banyak perkara menyebabkan beliau menukarnya kepada ternakan ikan patin. Salah satu sebab jelas ialah ikan keli yang mempunyai sifat makan anak dan hal berkenaan tentunya amat menyusahkannya. Dianggarkan ikan patin yang diternak di kolamnya itu berjumlah 20,000 ekor.

“Ternakan ikan patin mempunyai pulangan yang baik, banyak untung dari pelbagai sudut sama ada dari segi pasaran. Malah, sekilo berat ikan patin baharu seekor sahaja berbanding ikan keli yang beratnya sekilo dalam jumlah yang banyak (satu tong).

“Satu sifat lagi bagi ikan patin ialah mudah membiak apabila sampai tempoh dan benih ikan patin apabila dimasukkan ke dalam kolam hanya menunggu masa matang untuk pungut hasil, tidak perlu penjagaan khusus sebagaimana ikan keli yang agak cerewet”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF di kediamannya yang letaknya bersebelahan dengan kolam ikan patin miliknya itu. 

Katanya menambah, makanan ikan patin juga paling ringkas juga sebagaimana ikan keli. Beliau memberikan ikan patinnya usus ayam sahaja kerana makanan berkenaan mudah diperolehi apatah lagi secara percuma yang diberikan oleh peniaga-peniaga ayam yang dikenalinya. Menurut Abdul Rahim, kalau terpaksa membeli makanan ikan tentunya memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk tumbesaran ikan-ikan tersebut. Tetapi dengan hanya memberikan usus ayam, bukan sahaja tumbesaran ikan agak cepat, namun paling penting perbelanjaannya secara percuma.

Menurutnya lagi, ikan patin akan mencecah usia matang dan boleh dipungut untuk dijual setelah berusia lima bulan dengan berat setiap seekornya ialah sekilo. Ketika ini tumbesaran ikan patin bertambah segar dan keadaan dagingnya yang lazat bagi penggemar ikan-ikan terbabit. Usia matang ikan patin untuk dipungut agak lambat dua bulan berbanding dengan ikan keli, namun kebanyakan penggemar ikan akan memilih ikan patin.

“Berbanding dengan ikan keli, setahu saya penjual ikan tidak begitu berminat dengan ikan-ikan keli yang agak terlalu besar berbanding dengan ikan patin”, ujarnya.

Persoalan memasarkan ikan tidaklah begitu menyulitkannya walaupun pada hakikatnya beliau sendiri tiada pengalaman sebagai penjual ikan. Ini kerana, lazimnya pemborong ikan patin akan datang sendiri ke rumahnya untuk mendapatkan ikan-ikan patinnya itu yang dijualnya secara borong dan dengan demikian dia tidak perlu bersusah-payah untuk memasarkannya sendiri.

“Ini bermakna, menternak ikan patin begitu mudah malah memasarkannya juga begitu senang kerana pihak pemborong akan dapat mengetahui siapa yang menternak ikan dalam kolam”, jelasnya.

Apabila pemborong ikan yang sering datang ke rumahnya dan kini telah dikenalinya bertahun-tahun lamanya, dia akan menjualnya kepada pemborong itu dengan harga borong iaitu RM4 sekilo. Manakala pemborong itu pula akan menjualnya kepada pembeli dengan harga RM6  sekilo. Malah kadang-kadang ada juga individu yang datang membeli ikan patin di kolamnya, dia akan menjualnya dengan harga RM6 sekilo.

 “Pasaran ikan-ikan patin tidak pernah putus dan pembelinya sentiasa ada sekiranya ikan-ikan masih ada dalam kolam. Hanya peranan pemboronglah untuk memasarkan setiap ekor ikan dari kolam saya ini”, katanya.

Menurut Abdul Rahim, setahunya kebanyakan individu yang datang membeli ikan patin di kolamnya akan memasaknya untuk keluarga. Namun, kebiasaan ikan patin yang dijual kembali kepada gerai-gerai ikan, lazimnya ikan-ikan patinnya itu akan dibeli oleh pihak restoran untuk dijual kepada pelanggan yang singgah di kedai dan restoran mereka.

Apabila ditanya tentang jumlah kolam yang dibina pihak Kada di Kampung Menjual itu, menurutnya terdapatnya 11 buah kolam yang sesuai untuk ternakan ikan dalam kolam. Namun, hanya dia seorang saja yang menternak ikan patin yang turut mendapat perhatian pihak Kada itu. Manakala kolam-kolam lain dikhususkan kepada ternakan ikan keli. Apatah lagi, dalam jumlah 11 kolam itu, hanya tiga buah kolam ikan saja yang masih aktif menternak ikan termasuk kolamnya sendiri.

“Pihak Kada tidak bertindak sebagai penjual atau memasarkan ikan dari penternak kerana tiada unit yang dikhususkan ke arah itu. Apatah lagi, jumlah penternak ikan di kolam di kampung ini tidaklah begitu ramai. Jadi, perlulah penternak itu sendiri yang berusaha memasarkannya”, jelas Abdul Rahim.

Menurut Abdul Rahim, jika dikatakan kedua-dua spesis ikan seperti ikan patin dan ikan keli memang kedua-duanya tahan dengan pelbagai masalah walaupun keadaan air dalam kolam itu berkelodak, keruh dan berbau. Namun, jika dilihat dalam konteks pembiakan baka, ikan patin begitu cepat membiak berbanding dengan ikan keli.

“Saya tidak pernah terlihat ikan keli menetaskan anak berbanding dengan ikan patin dalam kolam. Tetapi, saya pernah lihat ikan patin menetaskan anak-anak yang begitu banyak dan membiak begitu cepat.

“Dalam hal ini, saya dapat lihat kolam ikan patin saya ini sentiasa bertambah dengan ikan baharu dan dapat ditafsirkan, ikan patin lebih memberikan keuntungan kepada penternak daripada ikan keli”, jelas Abdul Rahim lagi.

Ditanya tentang jumlah ikan patin yang masih berbaki di kolamnya, beliau tidak dapat memberikan jumlah dan anggaran berikutan ketika ini beliau tidak turun ke kolam ikannya itu. Namun, ikan yang ada dalam sangkar di kolamnya sekarang ini siap untuk dipasarkan kepada pembeli dan pemborong ikan. Manakala ikan yang bebas dalam kolamnya itu masih dalam usia muda dan mungkin beberapa bulan lagi bolehlah dipasarkan.

“Biasanya, ikan patin dapat dikeluarkan dari kolam dalam anggaran 3,000 ekor bergantung kepada permintaan dari pemborong dan pembeli terbabit”, ujar Abdul Rahim.

Apabila membicarakan tentang citarasa daging ikan, lain orang lain pula citarasanya. Katanya, bagi yang biasa menjadikan ikan patin sebagai juadah setiap hari tentunya rasanya agak lazat berbanding dengan ikan lain terutama ikan keli. Namun, baginya ikan patin amat lazat jika dimasak dengan tempoyak dan resipi seumpama ini amat tersohor di kalangan penggemar ikan patin.

“Amat berbeza di antara ikan patin yang diternak dalam kolam dan yang diperolehi dari sungai. Mungkin disebabkan keadaan, suasana habitat kehidupan ikan itu sendiri yang membezakan kedua-duanya.

“Dari segi harganya, ikan patin sungai amat mahal yang mungkin berdasarkan keadaan dagingnya yang berkeadaan seperti itu dan mungkin juga ikan patin sungai tidak berbau tidak sebagaimana ikan patin yang diternak dalam kolam”, jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan benih ikan patin berkenaan diperolehi dari Negeri Perak. Pemborong di Kelantan akan pergi ke Perak apabila ada tempahan dari penternak ikan patin. Manakala dari segi harga benih pula ialah 15 sen (1 ekor), jadi penternak akan memaklumkan jumlah yang dikehendaki, pemborong akan ke sana untuk mendapatkan bekalan benih ikan patin itu. Jika dibandingkan dengan benih ikan keli tentunya berbeza, kerana harga benih ikan keli lebih murah sekitar 8 sen atau 10 sen (1 ekor).

Katanya, ikan patin yang diternak dalam kolam yang terdedah tidak menyukarkan penternak apabila berlaku limpahan air dalam kolam berkenaan akibat hujan lebat atau sebagainya. Berbanding dengan ikan keli, apabila kolam melimpah ikan keli akan berebut-rebut untuk meninggalkan kolam itu menurut aliran air yang telah melimpah itu.

“Ikan patin ni agaknya bodoh sikit berbanding ikan keli. Walaupun air melimpahi kolam, ikan patin tidak cuba melarikan diri meninggalkan kolam itu. Ikan itu masih setia dalam kolam itu”, katanya yang membezakan antara ikan patin dan ikan keli sambil ketawa.

Apabila ditanya tentang jumlah jualan ikan patin yang pernah dibuatnya dalam tahun 2014 ini. Katanya, dia tidak dapat memberikan jumlah sebenar. Namun, apa yang diketahuinya ikan patin yang telah berjaya dikeluarkan dari kolamnya telah melebihi 5,000 ekor dan beliau menjualnya secara borong kepada pemborong dengan harga RM4 sekilo.

Katanya, kebanyakan pemborong ikan akan mendapatkan ikan patin di kolamnya, kemudian mereka akan memasarkannya di sekitar Wakaf Baharu seperti di Pasar Wakaf Baharu, restoran dan kedai makan termasuk juga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Tentang pasaran ikan ini, dia hanya berharapkan peranan kepada pemborong semata-mata untuk memasarkannya kepada pembeli yang berminat.

Abdul Rahim menambah, lazimnya pemborong ikan saja yang datang ke kolamnya untuk mendapatkan ikan-ikan tersebut untuk tujuan pasaran. Walau bagaimanapun, terdapat juga di kalangan individu yang pernah menempah ikan dari kolamnya untuk sesuatu majlis seperti kenduri perkahwinan, dia akan menghantarkannya sendiri tempahan itu. Biasanya mereka menempah ikan patin dalam lingkungan 40 hingga 50 kilo setiap kali tempahan dibuat.

Ditanya tentang pertandingan memancing pula, beliau menjelaskan, semperna dengan penubuhan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung Menjual itu sebelum ini, pernah diadakan pertandingan memancing ikan pada tahun 2005 dulu. Sambutan pemancing agak menggalakkan dengan hadiah hamper. Tetapi jika sekarang ini, dia menganggap tidak begitu larat dari segi modal, kecuali jika ada penaja yang sanggup menaja pertandingan itu berkemungkinan dia akan memikirkannya semula.

Abdul Rahim Abdullah atau Abang Him boleh dihubungi di talian:
09-7197383

Abdul Rahim Abdullah atau Abang Him.

Abdul Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Bergambar di tepi kolam ikan patin miliknya.


Inilah kolam ikan patin yang diusahakan oleh Abdul Rahim Abdullah.


Ikan patin.
Sumber foto: www.mancingmania.com

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 10 Disember 2014

Kedai Bunga dan Buah Che Mat


KEDAI BUNGA DAN BUAH CHE MAT


WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Pada masa lampau, menanam pokok adalah sesuatu yang agak sukar kerana kesemua kaedahnya terpaksa dibuat sendiri. Berbeza pula di zaman moden ini, apabila kesemua pokok yang ingin ditanam telah siap secara segar dan cara penanamannya agak mudah berikutan kaedah dan penyediaan semaian seumpama itu. Hanya perlu sediakan wang yang secukupnya, pokok yang ingin ditanam ada di tangan anda. Apa yang dikehendaki oleh pembeli kesemuanya telah disediakan dari hal pokok, baja dan pasunya sekali.

Terdapat banyak kedai bunga dan buah yang menyediakan khidmat penjualan pokok-pokok bunga, buah dan hiasan seperti itu, namun hakikatnya di atas kebijaksanaan pengusaha dan penyelianya untuk menarik pelanggan ke kedai mereka, selain meletakkan harga yang berpatutan tentunya menjadi minat pembeli untuk sentiasa ke tempat itu.

Salah satu kedai bunga, buah dan pokok hiasan yang sentiasa mendapat perhatian pembeli iaitu Kedai Bunga dan Buah Che Mat yang diusahakan oleh Mohd. Nasri bin Ali yang letaknya di laluan umum di Kampung Belukar, Wakaf Baharu, Kelantan adalah sebuah kedai yang menawarkan harga yang berpatutan dan mampu dibeli oleh peminat dan penggemarnya untuk sentiasa ke kedai itu.

Menurut Penyelianya, Mat Jusoh bin Semail, 63, atau lebih dikenali Pak Soh menyatakan kedainya itu dibuka enam hari seminggu. Kedai berkenaan menurutnya beroperasi sejak tahun 2000, bermakna sehingga sekarang kira-kira 14 tahun usia kedai berkenaan masih menjadi tumpuan pembeli kerana semua kehendak pembeli ada di kedai itu.

“Kedai kami hanya menjual pokok bunga, buah dan pokok perhiasan dari Kelantan sendiri, Johor dan negara jiran”, ujar Pak Soh ketika ditemui Wartawan RELATIF.

Menurut Pak Soh, kebanyakan harga yang dijual di kedai bunganya itu dengan harga yang berpatutan serendah RM5 hingga RM50 berdasarkan keadaan dan nama pokok itu. Misalnya pokok Jasmin berharga RM6, Puding Batik (RM6), Keladi (RM8), Keladi Itario (RM8), Jerako (RM46).

Manakala pokok-pokok bunga lain yang agak tersohor seperti Bunga Kertas, Bunga Raya, Bunga Ros, Bunga Orkid, Bunga Melor Susun dan Sinar Mas. Sementara pokok-pokok buah pula seperti Pinang Kuning, Pinang Merah, Rambutan Anak Sekolah, Mata Kucing, Kelapa Mantap, Manggis, Pauh Cik Ana, Ciku Mega, Durian, Durian Belanda, Durian Batang Mas, Limau Nipis, Limau Kasturi, Kedondong, Teh Tikat Roslinda, Rhu Janda Merana dan lain-lain lagi. Bahkan terdapat juga pokok hiasan iaitu pohon buluh dan pohon pinang.

Apabila ditanya tentang nama pokok yang paling disukai oleh pembeli setiap kali datang ke kedainya. Beliau menjelaskan, kesemua pokok yang dipamerkan di kedainya itu memang disukai pembeli kerana kesuburannya. Namun, terdapat sejenis pokok bunga yang mendapat permintaan utama di kalangan pembeli iaitu pokok bunga Jasmin.

Ditanya sebab-sebab pembeli menyukai bunga Jasmin, katanya pokok berkenaan sentiasa berbunga sepanjang musim terutamanya waktu pagi (siang) dan pokok ini berbunga secara berterusan malah tidak pernah berhenti malah kelihatannya agak cantik (khususnya bagi pandangan wanita) yang kerap membeli bunga berkenaan.

Sambung Pak Soh, pokok bunga Jasmin ini terdiri dua jenis iaitu Jasmin Putih dan Jasmin Kuning. Kedua-dua bunganya sama tetapi yang membezakannya ialah jenis berbau dan tidak berbau. Contohnya, Jasmin Putih yang berbunga putih memang menjadi kegilaan pembeli tetapi tidak berbau, manakala Jasmin Kuning, bunganya berbau tetapi tidaklah selaris Jasmin Putih. Dia meletakkan Jasmin Kuning di tepi pagar kedainya bagi membezakan kedua-duanya.

Di antara pokok bunga yang sering menjadi tumpuan kalangan wanita dan paling laris di kedainya ialah pokok bunga Jasmin. Pokok bunga yang lain ada juga permintaan di kalangan wanita, namun tidaklah sehebat pokok bunga Jasmin.

“Pokok bunga Jasmin tidak mempunyai unsur perubatan kerana pokok berkenaan bukan dalam kategori pokok herba. Namun, ia sekadar pokok bunga yang menjadi minat utama terutama di kalangan wanita”, ujarnya apabila diminta tentang keistimewaan dan khasiatnya dari sudut perubatan.

Menurut Pak Soh, kebanyakan pokok yang dijual di kedainya adalah pokok-pokok yang didatangkan dari luar Kelantan seperti dari Johor dan Thailand. Hanya dua jenis pokok saja dari Kelantan seperti manggis dan puding batik.

Katanya, cara menanam pokok bunga ini memang mudah. Tanggalkan atau tarik pokok tersebut dari plastik membaluti tanah dan akar pokok terbabit, kemudiannya penanaman boleh dibuat setelah disiediakan tempat tanaman.

Tambah Pak Soh, kebanyakan pokok mencapai tahap masa berbuah apabila berusia 1 tahun. Misalnya pokok mangga (pauh), akan sampai masa berbuah apabila usianya mencapai tempoh satu tahun. Buahnya dianggarkan 3 biji (1 kilo), maknanya buah mangga ini agak besar juga.

Setakat ini menurutnya, juara membeli pokok-pokok hiasan dan bunga dipelopori oleh kalangan wanita. Ini kerana, wanita memang minat serta gemarkan kepada hiasan dan bunga-bungaan. Manakala pokok buah-buahan pula digemari kalangan lelaki. Terdapat pembeli yang sama sering datang ke kedainya untuk mendapatkan pokok sesuai dengan laman rumah mereka.

Selain pokok bunga dan buah, kedainya juga menjual pelbagai jenis baja dikenali “baja organik’ untuk pokok seperti baja bunga (untuk bunga, kesuburan pokok dan berdaun lebat yang berwarna merah) dan baja buah (khusus untuk pokok buah-buahan). Selain itu, pasu juga turut dijual bagi memudahkan untuk semaian dan tanaman pokok-pokok terbabit di dalam kawasan laman rumah.

Untuk tempahan, hubungi:
1. Mat Jusoh Semail (Pak Soh) = 013-9518029 
2. Mohd. Nasri bin Ali (Pengusaha) = 012-9549720 

Mat Jusoh bin Semail atau Pak Soh.

Pak Soh ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kedai bunganya.

Mohd. Nasri bin Ali.

Mat Jusoh Semail, Mohd. Nasri Ali (tengah) dan Wartawan RELATIF.

Pandangan hadapan Kedai Bunga dan Buah Che Mat.





Sebahagian pokok bunga dan buah untuk dijual.




Antara pokok hiasan untuk dijual.


Antara baja pokok yang turut dijual.



Sebahagian pasu yang turut dijual di Kedai Bunga dan Buah Che Mat.



Beberapa pembeli sedang berurusan.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Isnin, 1 Disember 2014

Tok Selehor


TOK SELEHOR


TUMPAT, KELANTAN:  TOK SELEHOR atau dikenali juga "Tok Selehong" adalah singkatan nama atau gelaran kepada Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman yang merupakan seorang ulama besar bertaraf wali dari Tanah Melayu yang berasal dari Kelantan. Tok Selehor dilahirkan di Kampung Lubok Jong di pinggir Sungai Selehor pada tahun 1871 Masihi yang kini dikenali Kampung Kok Pasir, Tumpat, Kelantan.

Tentang pembelajaran Al-Quran pula, disebabkan bapanya yang merupakan seorang Guru Al-Quran, memudahkan Tok Selehor mempelajari kitab berkenaan dari bapanya sendiri. Selepas itu, Tok Selehor telah dihantar oleh bapanya untuk menuntut ilmu di Pondok Tuan Guru Haji Abdul Malik di Kampung Sungai Pinang.

Selepas itu, Tok Selehor belajar lagi di Pattani (Siam) selama tujuh (7) tahun dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdullah Tok Jong, Bendang Jong. Sekembalinya Tok Selehor dari Pattani (Siam), beliau menyambung pelajaran ke Mekah pula selama 18 tahun untuk mendalami pelajaran itu di sana.

Sekembalinya Tok Selehor dari Mekah, beliau telah membuka pondok di tepi Sungai Selehor pada tahun 1340 Hijrah. Hakikatnya, Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang seperti Fekah, Usuluddin dan sebagainya namun bidang yang sangat diminatinya ialah “Tasauf”.

Menurut bekas Penghulu Kampung Kok Pasir, Palekbang, Tumpat, Kelantan, Che Yusof Che Ibrahim, 61, atau Pak Soh ketika ditemui Wartawan RELATIF berkata, Tok Selehor adalah pengasas pondok. Katanya, Haji Abdul Malik dari Pondok Sungai Pinang adalah guru pertama Tok Selehor.

“Kebanyakan pondok di beberapa jajahan di Tumpat seperti di Kampung Kok Pasir sendiri, Kampung Kok Keli dan Kampung Laut adalah beberapa kawasan pondok yang pernah mendapat khidmat Tok Selehor sebagai Tok Guru. Maknanya, peranan utama di kawasan Tumpat itu dimainkan oleh Tok Selehor”, jelas Pak Soh.

Pak Soh menambah, selepas mendapat pendidikan dari gurunya, Haji Abdul Malik di Kampung Sungai Pinang, Tok Selehor melangkah jauh ke Pattani (Siam) untuk menimba ilmu di sana. Selepas itu, Tok Selehor menyambung pelajaran ke Mekah pula. Kira-kira 18 tahun di Mekah, Tok Selehor pulang ke Kampung Kok Pasir yang kemudiannya membuka pondok dalam kawasan makamnya kini. Manakala Masjid Tok Selehor adalah diasaskan sendiri oleh Tok Selehor. Selain pondok, Tok Selehor juga mewujudkan madrasah. Pondok terawal yang diasaskan oleh Tok Selehor sendiri dikenali Pondok Darul Hanan.

Terdapat kira-kira 30 buah pondok yang diwujudkan oleh Tok Selehor. Salah seorang murid utamanya, Haji Abbas yang merupakan atuk kepada Haji Mansor yang merupakan bekas ahli eksco kerajaan negeri Kelantan dulu. Manakala murid-muridnya dari luar Kelantan (luar Kampung Kok Pasir) yang datang menimba ilmu seperti dari Palembang (Haji Marzuki) dan Champa.

Sambung Pak Soh lagi, pendekatan dakwah yang digunakan oleh Tok Selehor menyamai dakwah Wali Songo (Wali Sembilan) dikenali Sunan Kalijaga. Malah Tok Selehor juga pada masa itu seorang yang banyak ilmunya dalam fatwa. Selain minat Tok Selehor terhadap seni silat dan bermain keris, Tok Selehor juga mahir dalam bersyair dan membaca buku-buku sastera lama.

Menariknya tentang Tok Selehor ialah beliau membina “satu lubang’ di atas makamnya dikenali “Suluk Tok Selehor” sebagai tempatnya solat dan berkhalwat untuk tujuan menginsafkan diri dan mengingatkan tentang kematian.

Tempat bersuluk Tok Selehor berbentuk empat segi dengan ukuran 7:7 (tinggi 7 dan dalam 7, tangga 7 batang). Suluk ini pada masa dulu adalah tempat Tok Selehor “berkhalwat”. Misalnya Nabi S.A.W  pernah berkhalwat di Gua Hira’, begitu jugalah dengan Tok Selehor menjadikan suluk itu tempatnya berkhalwat seperti untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Menurut Pak Soh lagi, di zaman Tok Selehor pernah ada di kalangan penduduk kampung yang mengemukakan soalan kepada Tok Selehor tentang hukum menagih dadah. Ini kerana, di dalam Al-Quran dan hadis hanya dijelaskan tentang meminum arak, berjudi dan merokok yang ternyata memabukkan dan melesukan fikiran, tetapi bagi dadah pula tidak dinyatakan di dalam Al-Quran dan hadis tentang itu.

Persoalan berkenaan tidak dijawab oleh Tok Selehor secara pantas. Lantas Tok Selehor akan bersuluk untuk mencari ilham. Apabila Tok Selehor telah mendapat ilham, baharulah diberikan jawapan tentang hukum menagih dadah itu.

Di antara murid Tok Selehor yang tersohor dan sezaman dengannya seperti Haji Abdul Rahman Abdullah (Tok Badol). Haji Abdul Rahman berasal dari Pattani (Siam). Katanya, jika Tok Selehor memerlukan kuda, Haji Abdul Rahman akan pulang ke Pattani lalu mendapatkan kuda yang dimaksudkan itu. Di antara murid-murid Tok Selehor yang lain terdiri dari Haji Che Mamat dari Kampung Kok Keli. Kesemua murid Tok Selehor kini sudah kembali ke rahmatullah.

Di antara bidang yang diajarkan kepada murid-muridnya seperti Tasauf, Fekah dan Silat. Cara dakwah Tok Selehor kepada masyarakat kampung pada ketika itu ialah mendekati masyarakat dengan menyelami dalam hati penduduk di kawasan terbabit. Jika penduduk berkenaan leka dengan masalah membuang masa dengan permainan sehingga melalaikan waktu solat, Tok Selehor akan mendekati masyarakat terbabit dengan memberitahu setelah selesai dengan permainan, kerjakanlah solat apabila telah masuk waktunya dan permainan itu boleh disambung balik.

Sebagai seorang pendakwah yang dekat dengan Allah S.W.T, Tok Selehor kerap berdakwah secara lemah lembut dan berbudi bahasa, kerana cara berkenaan akan mudah dihayati bahkan masyarakat yang menerima dakwah itu akan berasa malu terhadapnya untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Satu sifat lagi Tok Selehor adalah seorang ulama yang bermulut masin.

Pernah berlaku satu kejadian, seorang yang mencuci sebuah tempayan di tebing sungai. Dengan tiba-tiba tempayan tersebut bergolek. Apabila dilihat oleh Tok Selehor, Tok Selehor berkata orang terbabit pastinya menjadi “gila” kerana cuai sehingga tempayan yang dicuci jatuh ke sungai. Dengan izin Allah, orang yang dimaksudkan itu tiba-tiba menjadi sasau dan gila.

Tok Selehor pernah memagar kampung terbabit, mungkin untuk mengelak sesuatu masalah yang tidak diingini kerana pada masa itu Kelantan pernah didatangi penjajah Inggeris dan Jepun malahan pernah juga askar Siam ke tempat terbabit. Kawasan Tumpat dan khususnya Kampung Kok Pasir tidak terkecuali. Menariknya, di zaman Tok Selehor walaupun penjajah asing pernah menjajah kawasan terbabit namun tidak pernah berlaku pertumpahan darah dan peperangan. Bermakna, masyarakat kampung berkenaan hidup dalam keadaan aman kerana tiada gangguan daripada penjajah yang dimaksudkan.

Ketika Tok Selehor belajar di Pattani, berlaku kejadian pelik ketika gurunya meminta wang satu ringgit kerana ingin mengadakan majlis Maulidur Rasul pada hari esoknya. Pada malam yang sama Tok Selehor pulang meminta duit itu dengan ayahnya di Kampung Kok Pasir. Peliknya, bagaimana Tok Selehor pulang dan kembali ke Pattani dalam masa yang sepantas itu?  

Keadaan masyarakat kampung di zaman Tok Selehor boleh dikatakan hidup dalam keadaan aman tanpa wujudnya persengketaan dan bermasam muka apatah lagi tuduh-menuduh dan hidup berpuak-puak yang sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan sesama sendiri. Tok Selehor sendiri tidak pernah bermain parti politik kerana sebelum merdeka masih belum wujud parti politik. Salah satu sebabnya masyarakat kampung pada ketika itu menghormati ulama sebagai pemimpin mereka.

Berkat doa daripada Tok Selehor menjadikan Kampung Kok Pasir dalam keadaan aman sentosa sehingga hari ini. Bahkan menurut Pak Soh, ketika zaman remajanya, beliau pernah ingin mengadakan persembahan dikir barat. Tetapi apabila diketahui oleh Tok Selehor, tiap kali persiapan selesai untuk mengadakan persembahan itu, pastinya hujan turun dengan lebat. Tiap kali juga dia terpaksa membatalkan persembahan sedemikian kerana hujan agak lebat. Ini bermakna, doa seorang ulama yang bertarap wali akan dimakbulkan oleh Allah dengan segera. Doa itu mungkin untuk keamanan masyarakat kampung, namun apabila melanggarnya bahana pasti tiba.

Tok Selehor menghembuskan nafasnya pada malam Khamis, 20 Februari, 1935 (18 Zulkaedah 1353) dalam usia 64 tahun sebagai seorang ulama besar yang berstatus wali yang bersahabat akrab dengan Tok Kenali.
 
Banyak jasa Tok Selehor terhadap Islam, Institusi Ulama serta sejarah Islam Tanah Melayu terutamanya di Kampung Kok Pasir, Palekbang, Tumpat, Kelantan. Sehingga hari ini, keadaan kampung berkenaan dalam keadaan aman dan sentosa. Walaupun penjajah Jepun dan British di Tanah Melayu kerap menjajah tempat-tempat lain sebagai laluan pihak berkenaan namun tidak di kampung berkenaan sewaktu hayat Tok Selehor. Sesuatu yang paling menarik di Kampung Kok Pasir, penduduk di kampung ini mesra terhadap tetamu yang datang berkunjung untuk menunjukkan keberkatan Allah terhadap wali-Nya itu dapat pula dinikmati oleh semua penduduknya pula.

Justeru, amat jelas kisah yang serba ringkas tentang Tok Selehor boleh dijadikan panduan bahawa hormatilah alim ulama kerana merekalah pemimpin sebenar umat yang akan memacu umat itu mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Che Yusof bin Che Ibrahim atau Pak Soh.

Pak Soh ketika ditemubual Wartawan RELATIF di Kampung Kok Pasir.


Bergambar kenangan.

Masjid Tok Selehor bersebelahan dengan makamnya.





Wakaf Tok Selehor. Tempat Tok Selehor mengajar muridnya (anak panah).





Suluk Tok Selehor.



Makam Tok Selehor.

Pusara arwah bapa Tok Selehor.

Makam Haji Abbas (murid utama Tok Selehor, dimakamkan bersebelahan Makam Tok Selehor).

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube -https://www.youtube.com/watch?v=W3pMcCLj1J0

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM