RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Sabtu, 20 Disember 2014

Ternakan Ikan Patin


TERNAKAN IKAN PATIN


TUMPAT, KELANTAN: Ikan patin dan ikan keli adalah kedua-dua spesis ikan yang berlainan, tetapi kedua-duanya mempunyai daya tahan terhadap air yang berkelodak dan berbau. Kedua-dua spesis ikan ini juga mudah membiak dengan cepat walaupun hidup dalam air seumpama itu. Namun, dalam konteks sebagai hidangan makanan, segelintir manusia akan memilih antara keduanya. Ada yang mendakwa, ikan patin lebih lazat. Walau bagaimanapun, ada individu lain yang berpendapat ikan keli lebih enak dimakan disebabkan mutu daging ikan-ikan tersebut.

Walau bagaimanapun pendapat tentang kedua-dua spesis ikan tersebut, terdapat di kalangan penternak ikan yang juga mempunyai pendapat yang berbeza. Terdapat di kalangan penternak yang mendakwa lebih baik menternak ikan keli. Namun, terdapat juga yang berkata, lebih baik menternak ikan patin kerana menternak ikan patin lebih untung disebabkan seekor ikan patin beratnya sekilo. Manakala satu tong ikan keli beratnya baharu sekilo.

Mungkin hal seumpama ini yang menjadi pilihan seorang penternak ikan patin dalam kolam, Abdul Rahim Abdullah dari Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya baru-baru ini.

Katanya, beliau mula menternak ikan patin dalam kolam pada tahun 2008, selepas bersara dari Tenaga Nasional Berhad (TNB). Katanya, kolam itu sebenarnya adalah parit dan saliran milik Lembaga Pertanian Kemubu (Kada) yang tidak lagi digunakan (terbiar). Menurutnya, daripada tinggal terbiar begitu saja, adalah lebih bermanfaat bagi beliau mengusahakan parit dan saliran yang terbiar itu dengan ternakan ikan. Pihak Kada sendiri yang melakukan kerja-kerja menambak dan membuat batas kolam tersebut bagi kemudahan penternak sepertinya.

Menurut Abdul Rahim, apabila pihak Kada mengetahui niat seseorang penternak itu ingin menternak ikan, pihak Kada telah memperuntukkan benih ikan keli secara percuma berjumlah 2,000 ekor sebagai modal. Namun, disebabkan ikan keli baginya agak cerewet dalam banyak perkara menyebabkan beliau menukarnya kepada ternakan ikan patin. Salah satu sebab jelas ialah ikan keli yang mempunyai sifat makan anak dan hal berkenaan tentunya amat menyusahkannya. Dianggarkan ikan patin yang diternak di kolamnya itu berjumlah 20,000 ekor.

“Ternakan ikan patin mempunyai pulangan yang baik, banyak untung dari pelbagai sudut sama ada dari segi pasaran. Malah, sekilo berat ikan patin baharu seekor sahaja berbanding ikan keli yang beratnya sekilo dalam jumlah yang banyak (satu tong).

“Satu sifat lagi bagi ikan patin ialah mudah membiak apabila sampai tempoh dan benih ikan patin apabila dimasukkan ke dalam kolam hanya menunggu masa matang untuk pungut hasil, tidak perlu penjagaan khusus sebagaimana ikan keli yang agak cerewet”, ujarnya kepada Wartawan RELATIF di kediamannya yang letaknya bersebelahan dengan kolam ikan patin miliknya itu. 

Katanya menambah, makanan ikan patin juga paling ringkas juga sebagaimana ikan keli. Beliau memberikan ikan patinnya usus ayam sahaja kerana makanan berkenaan mudah diperolehi apatah lagi secara percuma yang diberikan oleh peniaga-peniaga ayam yang dikenalinya. Menurut Abdul Rahim, kalau terpaksa membeli makanan ikan tentunya memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk tumbesaran ikan-ikan tersebut. Tetapi dengan hanya memberikan usus ayam, bukan sahaja tumbesaran ikan agak cepat, namun paling penting perbelanjaannya secara percuma.

Menurutnya lagi, ikan patin akan mencecah usia matang dan boleh dipungut untuk dijual setelah berusia lima bulan dengan berat setiap seekornya ialah sekilo. Ketika ini tumbesaran ikan patin bertambah segar dan keadaan dagingnya yang lazat bagi penggemar ikan-ikan terbabit. Usia matang ikan patin untuk dipungut agak lambat dua bulan berbanding dengan ikan keli, namun kebanyakan penggemar ikan akan memilih ikan patin.

“Berbanding dengan ikan keli, setahu saya penjual ikan tidak begitu berminat dengan ikan-ikan keli yang agak terlalu besar berbanding dengan ikan patin”, ujarnya.

Persoalan memasarkan ikan tidaklah begitu menyulitkannya walaupun pada hakikatnya beliau sendiri tiada pengalaman sebagai penjual ikan. Ini kerana, lazimnya pemborong ikan patin akan datang sendiri ke rumahnya untuk mendapatkan ikan-ikan patinnya itu yang dijualnya secara borong dan dengan demikian dia tidak perlu bersusah-payah untuk memasarkannya sendiri.

“Ini bermakna, menternak ikan patin begitu mudah malah memasarkannya juga begitu senang kerana pihak pemborong akan dapat mengetahui siapa yang menternak ikan dalam kolam”, jelasnya.

Apabila pemborong ikan yang sering datang ke rumahnya dan kini telah dikenalinya bertahun-tahun lamanya, dia akan menjualnya kepada pemborong itu dengan harga borong iaitu RM4 sekilo. Manakala pemborong itu pula akan menjualnya kepada pembeli dengan harga RM6  sekilo. Malah kadang-kadang ada juga individu yang datang membeli ikan patin di kolamnya, dia akan menjualnya dengan harga RM6 sekilo.

 “Pasaran ikan-ikan patin tidak pernah putus dan pembelinya sentiasa ada sekiranya ikan-ikan masih ada dalam kolam. Hanya peranan pemboronglah untuk memasarkan setiap ekor ikan dari kolam saya ini”, katanya.

Menurut Abdul Rahim, setahunya kebanyakan individu yang datang membeli ikan patin di kolamnya akan memasaknya untuk keluarga. Namun, kebiasaan ikan patin yang dijual kembali kepada gerai-gerai ikan, lazimnya ikan-ikan patinnya itu akan dibeli oleh pihak restoran untuk dijual kepada pelanggan yang singgah di kedai dan restoran mereka.

Apabila ditanya tentang jumlah kolam yang dibina pihak Kada di Kampung Menjual itu, menurutnya terdapatnya 11 buah kolam yang sesuai untuk ternakan ikan dalam kolam. Namun, hanya dia seorang saja yang menternak ikan patin yang turut mendapat perhatian pihak Kada itu. Manakala kolam-kolam lain dikhususkan kepada ternakan ikan keli. Apatah lagi, dalam jumlah 11 kolam itu, hanya tiga buah kolam ikan saja yang masih aktif menternak ikan termasuk kolamnya sendiri.

“Pihak Kada tidak bertindak sebagai penjual atau memasarkan ikan dari penternak kerana tiada unit yang dikhususkan ke arah itu. Apatah lagi, jumlah penternak ikan di kolam di kampung ini tidaklah begitu ramai. Jadi, perlulah penternak itu sendiri yang berusaha memasarkannya”, jelas Abdul Rahim.

Menurut Abdul Rahim, jika dikatakan kedua-dua spesis ikan seperti ikan patin dan ikan keli memang kedua-duanya tahan dengan pelbagai masalah walaupun keadaan air dalam kolam itu berkelodak, keruh dan berbau. Namun, jika dilihat dalam konteks pembiakan baka, ikan patin begitu cepat membiak berbanding dengan ikan keli.

“Saya tidak pernah terlihat ikan keli menetaskan anak berbanding dengan ikan patin dalam kolam. Tetapi, saya pernah lihat ikan patin menetaskan anak-anak yang begitu banyak dan membiak begitu cepat.

“Dalam hal ini, saya dapat lihat kolam ikan patin saya ini sentiasa bertambah dengan ikan baharu dan dapat ditafsirkan, ikan patin lebih memberikan keuntungan kepada penternak daripada ikan keli”, jelas Abdul Rahim lagi.

Ditanya tentang jumlah ikan patin yang masih berbaki di kolamnya, beliau tidak dapat memberikan jumlah dan anggaran berikutan ketika ini beliau tidak turun ke kolam ikannya itu. Namun, ikan yang ada dalam sangkar di kolamnya sekarang ini siap untuk dipasarkan kepada pembeli dan pemborong ikan. Manakala ikan yang bebas dalam kolamnya itu masih dalam usia muda dan mungkin beberapa bulan lagi bolehlah dipasarkan.

“Biasanya, ikan patin dapat dikeluarkan dari kolam dalam anggaran 3,000 ekor bergantung kepada permintaan dari pemborong dan pembeli terbabit”, ujar Abdul Rahim.

Apabila membicarakan tentang citarasa daging ikan, lain orang lain pula citarasanya. Katanya, bagi yang biasa menjadikan ikan patin sebagai juadah setiap hari tentunya rasanya agak lazat berbanding dengan ikan lain terutama ikan keli. Namun, baginya ikan patin amat lazat jika dimasak dengan tempoyak dan resipi seumpama ini amat tersohor di kalangan penggemar ikan patin.

“Amat berbeza di antara ikan patin yang diternak dalam kolam dan yang diperolehi dari sungai. Mungkin disebabkan keadaan, suasana habitat kehidupan ikan itu sendiri yang membezakan kedua-duanya.

“Dari segi harganya, ikan patin sungai amat mahal yang mungkin berdasarkan keadaan dagingnya yang berkeadaan seperti itu dan mungkin juga ikan patin sungai tidak berbau tidak sebagaimana ikan patin yang diternak dalam kolam”, jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan benih ikan patin berkenaan diperolehi dari Negeri Perak. Pemborong di Kelantan akan pergi ke Perak apabila ada tempahan dari penternak ikan patin. Manakala dari segi harga benih pula ialah 15 sen (1 ekor), jadi penternak akan memaklumkan jumlah yang dikehendaki, pemborong akan ke sana untuk mendapatkan bekalan benih ikan patin itu. Jika dibandingkan dengan benih ikan keli tentunya berbeza, kerana harga benih ikan keli lebih murah sekitar 8 sen atau 10 sen (1 ekor).

Katanya, ikan patin yang diternak dalam kolam yang terdedah tidak menyukarkan penternak apabila berlaku limpahan air dalam kolam berkenaan akibat hujan lebat atau sebagainya. Berbanding dengan ikan keli, apabila kolam melimpah ikan keli akan berebut-rebut untuk meninggalkan kolam itu menurut aliran air yang telah melimpah itu.

“Ikan patin ni agaknya bodoh sikit berbanding ikan keli. Walaupun air melimpahi kolam, ikan patin tidak cuba melarikan diri meninggalkan kolam itu. Ikan itu masih setia dalam kolam itu”, katanya yang membezakan antara ikan patin dan ikan keli sambil ketawa.

Apabila ditanya tentang jumlah jualan ikan patin yang pernah dibuatnya dalam tahun 2014 ini. Katanya, dia tidak dapat memberikan jumlah sebenar. Namun, apa yang diketahuinya ikan patin yang telah berjaya dikeluarkan dari kolamnya telah melebihi 5,000 ekor dan beliau menjualnya secara borong kepada pemborong dengan harga RM4 sekilo.

Katanya, kebanyakan pemborong ikan akan mendapatkan ikan patin di kolamnya, kemudian mereka akan memasarkannya di sekitar Wakaf Baharu seperti di Pasar Wakaf Baharu, restoran dan kedai makan termasuk juga di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Tentang pasaran ikan ini, dia hanya berharapkan peranan kepada pemborong semata-mata untuk memasarkannya kepada pembeli yang berminat.

Abdul Rahim menambah, lazimnya pemborong ikan saja yang datang ke kolamnya untuk mendapatkan ikan-ikan tersebut untuk tujuan pasaran. Walau bagaimanapun, terdapat juga di kalangan individu yang pernah menempah ikan dari kolamnya untuk sesuatu majlis seperti kenduri perkahwinan, dia akan menghantarkannya sendiri tempahan itu. Biasanya mereka menempah ikan patin dalam lingkungan 40 hingga 50 kilo setiap kali tempahan dibuat.

Ditanya tentang pertandingan memancing pula, beliau menjelaskan, semperna dengan penubuhan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung Menjual itu sebelum ini, pernah diadakan pertandingan memancing ikan pada tahun 2005 dulu. Sambutan pemancing agak menggalakkan dengan hadiah hamper. Tetapi jika sekarang ini, dia menganggap tidak begitu larat dari segi modal, kecuali jika ada penaja yang sanggup menaja pertandingan itu berkemungkinan dia akan memikirkannya semula.

Abdul Rahim Abdullah atau Abang Him boleh dihubungi di talian:
09-7197383

Abdul Rahim Abdullah atau Abang Him.

Abdul Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Bergambar di tepi kolam ikan patin miliknya.


Inilah kolam ikan patin yang diusahakan oleh Abdul Rahim Abdullah.


Ikan patin.
Sumber foto: www.mancingmania.com

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 10 Disember 2014

Kedai Bunga dan Buah Che Mat


KEDAI BUNGA DAN BUAH CHE MAT


WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Pada masa lampau, menanam pokok adalah sesuatu yang agak sukar kerana kesemua kaedahnya terpaksa dibuat sendiri. Berbeza pula di zaman moden ini, apabila kesemua pokok yang ingin ditanam telah siap secara segar dan cara penanamannya agak mudah berikutan kaedah dan penyediaan semaian seumpama itu. Hanya perlu sediakan wang yang secukupnya, pokok yang ingin ditanam ada di tangan anda. Apa yang dikehendaki oleh pembeli kesemuanya telah disediakan dari hal pokok, baja dan pasunya sekali.

Terdapat banyak kedai bunga dan buah yang menyediakan khidmat penjualan pokok-pokok bunga, buah dan hiasan seperti itu, namun hakikatnya di atas kebijaksanaan pengusaha dan penyelianya untuk menarik pelanggan ke kedai mereka, selain meletakkan harga yang berpatutan tentunya menjadi minat pembeli untuk sentiasa ke tempat itu.

Salah satu kedai bunga, buah dan pokok hiasan yang sentiasa mendapat perhatian pembeli iaitu Kedai Bunga dan Buah Che Mat yang diusahakan oleh Mohd. Nasri bin Ali yang letaknya di laluan umum di Kampung Belukar, Wakaf Baharu, Kelantan adalah sebuah kedai yang menawarkan harga yang berpatutan dan mampu dibeli oleh peminat dan penggemarnya untuk sentiasa ke kedai itu.

Menurut Penyelianya, Mat Jusoh bin Semail, 63, atau lebih dikenali Pak Soh menyatakan kedainya itu dibuka enam hari seminggu. Kedai berkenaan menurutnya beroperasi sejak tahun 2000, bermakna sehingga sekarang kira-kira 14 tahun usia kedai berkenaan masih menjadi tumpuan pembeli kerana semua kehendak pembeli ada di kedai itu.

“Kedai kami hanya menjual pokok bunga, buah dan pokok perhiasan dari Kelantan sendiri, Johor dan negara jiran”, ujar Pak Soh ketika ditemui Wartawan RELATIF.

Menurut Pak Soh, kebanyakan harga yang dijual di kedai bunganya itu dengan harga yang berpatutan serendah RM5 hingga RM50 berdasarkan keadaan dan nama pokok itu. Misalnya pokok Jasmin berharga RM6, Puding Batik (RM6), Keladi (RM8), Keladi Itario (RM8), Jerako (RM46).

Manakala pokok-pokok bunga lain yang agak tersohor seperti Bunga Kertas, Bunga Raya, Bunga Ros, Bunga Orkid, Bunga Melor Susun dan Sinar Mas. Sementara pokok-pokok buah pula seperti Pinang Kuning, Pinang Merah, Rambutan Anak Sekolah, Mata Kucing, Kelapa Mantap, Manggis, Pauh Cik Ana, Ciku Mega, Durian, Durian Belanda, Durian Batang Mas, Limau Nipis, Limau Kasturi, Kedondong, Teh Tikat Roslinda, Rhu Janda Merana dan lain-lain lagi. Bahkan terdapat juga pokok hiasan iaitu pohon buluh dan pohon pinang.

Apabila ditanya tentang nama pokok yang paling disukai oleh pembeli setiap kali datang ke kedainya. Beliau menjelaskan, kesemua pokok yang dipamerkan di kedainya itu memang disukai pembeli kerana kesuburannya. Namun, terdapat sejenis pokok bunga yang mendapat permintaan utama di kalangan pembeli iaitu pokok bunga Jasmin.

Ditanya sebab-sebab pembeli menyukai bunga Jasmin, katanya pokok berkenaan sentiasa berbunga sepanjang musim terutamanya waktu pagi (siang) dan pokok ini berbunga secara berterusan malah tidak pernah berhenti malah kelihatannya agak cantik (khususnya bagi pandangan wanita) yang kerap membeli bunga berkenaan.

Sambung Pak Soh, pokok bunga Jasmin ini terdiri dua jenis iaitu Jasmin Putih dan Jasmin Kuning. Kedua-dua bunganya sama tetapi yang membezakannya ialah jenis berbau dan tidak berbau. Contohnya, Jasmin Putih yang berbunga putih memang menjadi kegilaan pembeli tetapi tidak berbau, manakala Jasmin Kuning, bunganya berbau tetapi tidaklah selaris Jasmin Putih. Dia meletakkan Jasmin Kuning di tepi pagar kedainya bagi membezakan kedua-duanya.

Di antara pokok bunga yang sering menjadi tumpuan kalangan wanita dan paling laris di kedainya ialah pokok bunga Jasmin. Pokok bunga yang lain ada juga permintaan di kalangan wanita, namun tidaklah sehebat pokok bunga Jasmin.

“Pokok bunga Jasmin tidak mempunyai unsur perubatan kerana pokok berkenaan bukan dalam kategori pokok herba. Namun, ia sekadar pokok bunga yang menjadi minat utama terutama di kalangan wanita”, ujarnya apabila diminta tentang keistimewaan dan khasiatnya dari sudut perubatan.

Menurut Pak Soh, kebanyakan pokok yang dijual di kedainya adalah pokok-pokok yang didatangkan dari luar Kelantan seperti dari Johor dan Thailand. Hanya dua jenis pokok saja dari Kelantan seperti manggis dan puding batik.

Katanya, cara menanam pokok bunga ini memang mudah. Tanggalkan atau tarik pokok tersebut dari plastik membaluti tanah dan akar pokok terbabit, kemudiannya penanaman boleh dibuat setelah disiediakan tempat tanaman.

Tambah Pak Soh, kebanyakan pokok mencapai tahap masa berbuah apabila berusia 1 tahun. Misalnya pokok mangga (pauh), akan sampai masa berbuah apabila usianya mencapai tempoh satu tahun. Buahnya dianggarkan 3 biji (1 kilo), maknanya buah mangga ini agak besar juga.

Setakat ini menurutnya, juara membeli pokok-pokok hiasan dan bunga dipelopori oleh kalangan wanita. Ini kerana, wanita memang minat serta gemarkan kepada hiasan dan bunga-bungaan. Manakala pokok buah-buahan pula digemari kalangan lelaki. Terdapat pembeli yang sama sering datang ke kedainya untuk mendapatkan pokok sesuai dengan laman rumah mereka.

Selain pokok bunga dan buah, kedainya juga menjual pelbagai jenis baja dikenali “baja organik’ untuk pokok seperti baja bunga (untuk bunga, kesuburan pokok dan berdaun lebat yang berwarna merah) dan baja buah (khusus untuk pokok buah-buahan). Selain itu, pasu juga turut dijual bagi memudahkan untuk semaian dan tanaman pokok-pokok terbabit di dalam kawasan laman rumah.

Untuk tempahan, hubungi:
1. Mat Jusoh Semail (Pak Soh) = 013-9518029 
2. Mohd. Nasri bin Ali (Pengusaha) = 012-9549720 

Mat Jusoh bin Semail atau Pak Soh.

Pak Soh ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kedai bunganya.

Mohd. Nasri bin Ali.

Mat Jusoh Semail, Mohd. Nasri Ali (tengah) dan Wartawan RELATIF.

Pandangan hadapan Kedai Bunga dan Buah Che Mat.





Sebahagian pokok bunga dan buah untuk dijual.




Antara pokok hiasan untuk dijual.


Antara baja pokok yang turut dijual.



Sebahagian pasu yang turut dijual di Kedai Bunga dan Buah Che Mat.



Beberapa pembeli sedang berurusan.

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 30 Oktober 2014

Rezeki Sabut Kelapa


REZEKI SABUT KELAPA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Perusahaan memproses sabut kelapa sebenarnya ada potensi sebagai sumber rezeki keluarga yang jarang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai usaha yang boleh bergerak seiring dengan lain-lain bidang jika diusahakan dengan tekun dan tawakal kepada Allah. Ini diakui sendiri oleh salah seorang pengusahanya, Shafie bin Hussein, 60, atau lebih dikenali Pak Ya Ayam dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan baru-baru ini.

Katanya, dia dulunya adalah seorang peniaga ayam, namun disebabkan sudah agak ramai yang menjadi peniaga di bidang terbabit, membuatkan beliau berfikir untuk beralih arah pula. Sehinggalah beliau melihat salah seorang pengusaha sabut kelapa terawal yang berjaya dari Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu, menimbulkan ilham di hatinya untuk menurut jejak pengusaha dari kampung itu dan setakat ini dia adalah pengusaha kedua di Wakaf Baharu itu yang memulakannya sejak 1 Mei, 2014  lalu.

“Dulu, saya peniaga ayam. Ketika memulakan projek ini memang agak sukar. Namun, apabila ada pembelinya, rasa gembira itu mula timbul”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya itu.

Sejak dari tarikh itu, dia mengusahakan perusahaan berkenaan di atas tanah miliknya sendiri dan hal berkenaan menjadikan kelebihan buatnya di mana tempat memproses sabut kelapa itu terletak di bahagian belakang kediamannya.

Kejayaannya dapat menjual sabut kelapa yang siap diproses kepada pembeli setempat iaitu dari kampung yang sama menjadi pembakar semangat untuknya mengorak langkah lebih jauh lagi. Jiran-jirannya yang mengusahakan tanaman sayur-sayuran selain pokok bunga sering datang mendapatkan sabut kelapa itu sebagai baja. Walaupun dalam jumlah yang sedikit, namun usahanya itu dianggap menemui kejayaan awal kerana telah ada pembelinya.

Menurut Shafie, dia menjual sabut kelapa itu dengan harga RM5 satu beg (kecil). Sabut kelapa berkenaan digunakan oleh pekebun sayur-sayuran, buah-buahan dan penanam-penanam bunga sebagai baja yang menyuburkan pokok. Ini kerana, penggunaan sabut kelapa yang telah siap diproses itu adalah tindakan wajar kerana sayur-sayuran dan lain-lain tanaman akan tumbuh subur dengan sabut kelapa itu walaupun terdapat baja-baja lain seperti baja kimia untuk tujuan menambah kesuburan terhadap pokok terbabit.

Selain digunakan sebagai baja, sabut kelapa juga boleh dibuat penyapu dan berus sabut dari jeraminya. Sementara sebahagian jeraminya itu juga dijual kepada pengusaha kusyen kereta di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. Bulu sabut kelapa itu dimasukkan di bawah kusyen menggantikan span yang harganya jauh lebih mahal berbanding dengan sabut kelapa yang berharga lebih murah malah tahan lebih lama.

Menurutnya, beliau membeli mesin proses berharga RM13,000. Berdasarkan purata perbelanjaan membeli mesin proses termasuk sabut kelapa itu dalam anggaran RM25,000. Perbelanjaan lain yang dikira tetap ialah penggunaan elektrik 3 phase untuk proses tersebut.

Shafie menambah, longgokan sabut-sabut kelapa itu akan melalui proses pengisaran yang dilakukan mesin pengisar. Sabut kelapa itu dimasukkan ke dalam lubang pengisar dan dalam masa beberapa minit sahaja, akan keluarlah hasilnya melalui dua saluran iaitu sabut halus dan sabut yang kasar.

“Saya perolehi bekalan sabut kelapa dari pengusaha kelapa, kadang-kadang saya perolehi dari beberapa individu yang menjual sabut-sabut kelapa itu.

 “Harga sabut kelapa itu adalah RM80 satu kampit dan keseluruhannya berjumlah 6,000 yang dimuatkan dalam sebuah van. Manakala baki kulit kelapa itu masih boleh digunakan. Kulit kelapa juga berguna dan akan diproses apabila ada pihak yang ingin membelinya”, kata Shafie lagi.

Bercakap tentang saingan dalam mengusahakan pemprosesan sabut kelapa itu, hanya dia dari Kampung Chenderong Batu dan salah seorang pengusaha dari Kampung Kubang Batang sahaja yang mengusahakannya. Malah dia menganggap pengusaha di kawasan itu sebagai model untuknya berkecimpung dalam bidang yang sama.

“Selain pengusaha di Wakaf Baharu, terdapat empat pengusaha di kawasan Bachok, Kelantan yang mengusahakan sabut kelapa sepertinya” ujarnya.

Menurut Shafie, soal tenaga pekerja untuk mengendalikan perusahaan tersebut sememangnya tidak menjadi masalah. Ini kerana, dia turut dibantu oleh anak-anak dan ahli keluarganya yang juga berminat dalam bidang yang sama.

“Perusahaan ini dibantu oleh keluarga dan anak-anak saya sendiri. Saya sememangnya tidak mengupah pekerja khusus, kerana anak-anak saya turut berminta dengan bidang ini”, katanya.

Shafie menambah, setakat ini beliau masih belum mengiklankan perusahaannya itu dalam mana-mana akhbar mahupun internet. Walau bagaimanapun, dia dalam proses membuat blog dan kad perniagaan sendiri sebagai salah satu usaha mengiklankan perusahaannya itu selain mewar-warkannya dari mulut ke mulut kepada penduduk-penduduk setempat.

“Perusahaan sabut kelapa ini sebenarnya berdasarkan kepada musim-musim tertentu, misalnya musim penanaman buah dan sayur-sayuran. Ini kerana, penanam-penanam tembikai dan timun akan membeli sabut kelapa yang siap diproses itu dalam jumlah yang banyak sebagai baja yang subur untuk tanaman.

“Lazimnya, sabut kelapa menghadapi masalah kekurangan pembeli apabila berhadapan musim tengkujuh di antara bulan-bulan Oktober hingga Disember setiap tahun dan akan kembali aktif mulai bulan Januari tahun yang berikutnya.

“Misalnya di Kampung Kubang Batang, saya melihat sendiri sabut kelapa dalam jumlah 600 beg dijual kepada penggunanya tidak sampai tiga minggu untuk menunjukkan perusahaan berkenaan laris dan ada potensinya untuk diperkenalkannya kepada umum”, jelasnya.

Bahkan dalam hal ini, beliau menyarankan terutamanya kepada penanam-penanam buah-buahan dan sayur-sayuran yang memerlukan baja yang agak subur dengan harga yang agak murah berbanding dengan baja-baja yang lain diharapkan menggunakan sabut kelapa. Kalau ingin menempahnya, boleh datang sendiri atau menghubunginya dan dia akan mula memproses sabut itu menurut kehendak pembeli.

Justeru, biasanya orang-orang kampung yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan dan tanaman bunga hanya membelinya dalam kadar satu atau dua beg saja sabut kelapa itu. Namun, bagi penanam-penanam komersial akan menempahnya sehingga 300 beg setiap kali menanam.

Shafie bin Hussein atau Pak Ya Ayam boleh dihubungi di talian:  017-9747693

Shafie bin Hussein atau Pak Ya Ayam.

Shafie ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Longgokan sabut kelapa siap untuk diproses.



Sabut kelapa yang diproses menjadi baja.

Sebahagian sabut kelapa itu dijadikan jerami penyapu dan berus sabut.

Jerami sabut kelapa juga boleh dijadikan sebagai permaidani kusyen kereta.




Inilah mesin pengisar sabut kelapa yang berharga RM13,000.

Tonton Video:

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
 MOHD. KAMAL IBRAHIM

Jumaat, 10 Oktober 2014

Ternakan Ikan Keli


TERNAKAN IKAN KELI

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Penggemar ikan keli sememangnya agak ramai jika dihitung dengan jumlah pasaran ikan tersebut sendiri. Disebabkan hal berkenaan, penternak ikan berkenaan dianggap tidak menang tangan apabila permintaan terhadapnya semakin bertambah setiap bulan. Disebabkan itulah, penternak ikan keli sebenarnya “pening kepala” untuk memenuhi permintaan daripada pembeli apabila setiap kali bulan Ramadan (bulan puasa) menjelang, bekalan ikan keli perlu ditambah. Jika tidak berbuat demikian, akan ada pembeli yang hampa kerana hasrat mereka untuk mendapatkannya kadang-kadang tidak kesampaian. Puncanya, kekurangan benih-benih ikan dari pihak penternak.

Salah seorang penternak dan Pengusaha Ikan Keli yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Mat Sukor bin Dollah, 48, atau tersohor dengan panggilan Abe Mat dari Kampung Chenderong Batu, Wakaf Baharu, Kelantan mengakui hakikat itu bahawa, penternak ikan sepertinya sering kehabisan benih ikan tersebut. Ini menurutnya, kira-kira lima bulan menjelangnya bulan puasa ikan-ikan keli yang ada di kolamnya habis ditempah. Jika tidak dapat menghitung kesemua ikan-ikan berkenaan, pastinya kolam berkenaan tinggal kosong disebabkan ikan-ikan habis dijual. Puncanya, kesukaran untuk mendapatkan benih-benih ikan terbabit dan hal seumpama ini pernah dialaminya bebeberapa kali disebabkan hal berkenaan.  

Menurut Mat Sukor, projek ternakan ikan kelinya bermula pada tahun 2006. Projek tersebut pada awalnya adalah sebagai hobi masa lapang semata-mata, namun setelah ikan berkenaan semakin matang, buat kali pertama beliau menjual ikan-ikannya itu kepada pembeli yang terdiri daripada restoran dan kedai-kedai makan serta individu di sekitar Wakaf Baharu itu. Dengan tidak disangkanya, dari pemerhatiannya mendapati projek yang dianggap sebagai hobi itu memberikan pulangan yang agak lumayan juga. Bertolak dari situlah, dari sekadar hobi semata-mata kemudiannya timbul minat.

Akhirnya setelah difikir dan dihalusi, disebabkan projek berkenaan memberikan pulangan yang agak menarik sedangkan modalnya agak rendah apatah lagi projek sedemikian rupa-rupanya dapat membantu mengatasi beban rezeki keluarganya sedangkan sebelum ini dia tidak terfikir tentang itu.

Mat Sukor menambah, purata pendapatan yang diperolehinya hasil jualan ikan kelinya itu di antara RM400 hingga RM500 sebulan dianggap sudah memadai baginya dengan jumlah ikan keli yang ada di dalam kolamnya yang berjumlah 20 buah kolam itu.

“Saya dapatkan bekalan benih akan ikan dari Kampung Julok, Banggol, Kota Bharu yang saya beli dari seorang usahawan terkenal Kelantan bernama Raja Azhar.

“Sebuah tempat lagi di sebuah kampung di Pasir Mas yang dikenali Pak Chong (berasal dari Kedah) iaitu individu pertama yang memperkenalkan benih ikan berkenaan di Kampung Chenderong Batu ini”, katanya.

Katanya, perbelanjaan membeli benih anak ikan itu berdasarkan saiz anak ikan itu sendiri. Kira-kira 15,000 ekor anak ikan keli dibelinya untuk tujuan projek ternakan ikan sebanyak 20 kolam itu. Ikan-ikan ini pula dikira berdasarkan ukuran saiznya, iaitu jika saiz 2 inci berharga RM0-06 sen, manakala jika saiz 3 inci berharga RM0-08 sen. Menurutnya, harga berkenaan dikira secara rawak dan bukannya harga pasaran.

Menurut Abe Mat, setelah memperolehi benih ikan tersebut, ikan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam kolam. Ikan itu dianggap matang dan boleh dipungut apabila berusia 4 bulan. Dalam usia ini, hanya separuh dari ikan yang ada dalam kolam berkenaan boleh ditangkap untuk dijual. Bermakna, jika ikan yang ada dalam kolam itu berjumlah 1,000 ekor, kira-kira separuhnya iaitu 500 ekor darinya boleh ditangkap untuk dijual. Kaedah ini dibuat adalah disebabkan ikan yang ada dalam kolam berkenaan mempunyai pelbagai saiz. Katanya, usia ikan yang boleh dijual itu adalah kira-kira 4 bulan dianggap telah matang dengan beratnya kira-kira 250 gram seekor.

“Bukan usaha saya sendiri untuk mendapatkan benih-benih ikan, pihak Kada pernah memberikan bantuan anak-anak ikan kepada saya selama tiga tahun sekali sejak beberapa tahun yang lalu. Selain kerajaan negeri Kelantan sendiri yang memperuntukan bantuan benih ikan pada tahun 2009”, ujarnya.

Katanya, baru-baru ini beliau telah membuat permohonan benih ikan kepada pihak Kada Kota Bharu. Namun, setakat ini beliau belum menerima sebarang perkembangan sama ada permohonannya itu telah diluluskan ataupun ditolak, namun beliau kemudiannya menerima perkembangan itu bahawa permohonannya sedang dalam proses.

Kemudian menurutnya, kira-kira tiga kali beliau didatangi oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tetapi sekadar datang menjenguknya sahaja tetapi tiada sebarang hasil yang beliau perolehi. Dari pemerhatiannya, pihak kementerian terbabit bukan ingin menolongnya sebagai pemohon di kalangan berpendapatan rendah sebaliknya sekadar untuk melihatnya sahaja.

Apa yang diketahuinya, pihak berkenaan sebenarnya ingin melaksanakan “projek ternakan ikan berkelompok” di Kampung Berangan, Tumpat. Beliau memaklumkan kepada pihak kementerian supaya membatalkan projek tersebut kerana dibimbangi membazirkan sumber kewangan. Ini kerana, penternak yang diambil oleh pihak terbabit terdiri daripada golongan yang tidak berminat terhadap projek tersebut.

“Jika pihak Kementerian bersungguh-sungguh untuk meneruskan projek itu, saya minta supaya membina kolam di belakang rumah saya dan melantik saya sebagai pengendalinya.

“Dengan cara ini, saya boleh dapatkan individu dalam kampung ini yang mampu dan benar-benar dapat menguruskan projek ini supaya berjalan lancar dan tidak membazir”, jelasnya.

Kata-katanya itu memang ada benarnya apabila pembinaan kolam di kawasan yang dimaksudkan untuk projek itu tidak sampai dua bulan, akhirnya terbengkalai begitu saja. Nilai barangan dan peruntukan untuk projek tersebut berharga ribuan ringgit ditinggalkan di tempat itu dan usaha pihak berkenaan ternyata gagal kerana tiada perancangan khusus ke arah itu. Selepas itu, beliau menghalang pihak berkenaan untuk datang ke rumahnya lagi kerana bimbang berlaku sebagaimana yang terjadi di Kampung Berangan itu kerana kegagalan pihak kementerian terbabit gagal menguruskan projek yang bernilai ribuan ringgit itu.

“Kalau pihak kmenterian enggan memberikan bantuan benih ikan, memang tiada masalah. Sebaiknya pihak kmenterian menghulurkan bantuan dalam bentuk tunai, saya mampu mendapatkan benih-benih ikan itu melalui banyak cara.

“Cara ini lebih baik daripada sekadar membuat “kajian” dan melaksanakan projek yang akhirnya membazir wang beribu ringgit, sedangkan projek yang dijalankan gagal”, katanya dengan nada tidak puas hati kerana saranannya tidak dipedulikan oleh pihak kementerian tersebut.

Akhir sekali pihak Fama pula datang ke rumahnya untuk melaksanakan “projek berkelompok” sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pihak Kada sebelum itu. Pihak berkenaan membuat kajian tentang jumlah hasil yang diperolehi dalam masa empat bulan. Keputusan hasil kajian pihak Fama dari projek yang diuruskannya tidak sampai nilai satu tan pun. Ini bermakna, projek tersebut hanya menelan belanja dari semua projek yang akan dijalankan adalah kecil sahaja.   

“Kebanyakan ikan-ikan saya jualnya kepada pemborong ikan terkenal tadi bernama Raja Azhar. Pihak mereka datang sendiri ke sini. Selepas itu, ikan-ikan berkenaan saya jual di sekitar Wakaf Baharu seperti dijual di Pasar Wakaf Baharu dan juga individu yang membeli terus dari saya.

“Tentang pasaran ikan saya tidak bimbang sangat, sebaliknya apa yang merunsingkan saya ialah bekalan ikan tidak mencukupi”, ujarnya.

Katanya, kejadian bekalan ikan tidak mencukupi sering berlaku kira-kira lima bulan sebelum bulan puasa. Ketika itu permintaan agak tinggi di mana pembeli sering menambah kuantiti belian menyebabkan bekalan ikan yang dimaksudkan sentiasa habis.

Contohnya, lazim berlaku jika sebelum ini bekalan dibeli kira-kira 10,000 ekor apabila tibanya bulan puasa mereka akan menambah pembelian sebanyak 20,000 ekor untuk tujuan bulan puasa. Ini bermakna, jika ada individu ingin membelinya atau jika beliau sendiri berhasrat ingin menjualnya kepada pembeli di kalangan pengusaha restoran dan kedai-kedai makan sememangnya tidak tercapai. Disebabkan berlaku hal yang sedemikian, beliau akan menjualnya di mana saja yang ikan yang masih berbaki walaupun jumlahnya tidak seberapa.

Tambah Mat Sukor, lazimnya individu yang datang membeli ikan berkenaan adalah terdiri daripada pengusaha-pengusaha kedai makan. Biasanya pihak berkenaan membeli kira-kira tiga kilogram sehari. Namun, lazimnya peniaga-peniaga berkenaan jarang datang ke kolamnya untuk mendapatkan hasil yang segar sebaliknya dibeli dari penjual-penjual ikan terbabit yang memperolehi bekalan darinya sendiri.

“Saya menjual ikan-ikan keli dengan harga RM5 sekilo, sebaliknya penjual ikan akan menjualnya kepada pembeli lain dengan harga RM7 sekilo. Ini bermakna, peniaga ikan memperolehi lebih keuntungan dari harga yang dijualnya”, ujarnya sambil ketawa.

Apabila ditanya, adakah harga ikan sekilo sebanyak RM5 itu agak murah jika dibandingkan dengan harga-harga ikan lain yang kini semakin meningkat. Beliau menjelaskan, sememangnya harga tersebut paling murah jika dibandingkan dengan harga-harga ikan dari pengusaha lain khususnya ikan-ikan laut. Namun, itulah yang dapat dilakukannya disebabkan penternak ikan keli dalam kolam tidak ada persatuan yang dapat membantu dan membela kebajikan penternak-penternak sepertinya.

Ditanya, berapakah nilai sebenar yang patut dijual oleh beliau sebagai penternak ikan keli kepada pembeli. Katanya, harga ikan itu sepatutnya dijual paling rendah sebanyak RM7 sekilo sama seiring dengan harga ikan-ikan dari laut kerana beliau juga terpaksa membeli makanan-makanan ikan dan perlu memeliharanya dengan cermat, jika tidak ikan-ikan akan kurus dan mati.

Kalau ikan-ikan dari laut sentiasa menghadapi masalah harga pasaran, beliau juga menghadapi masalah yang sama. Apatah lagi, jika dibandingkan pihak nelayan kini memperolehi subsidi dari pihak kerajaan, sedangkan beliau sebagai penternak di darat tidak pernah memperolehi bantuan seumpamanya. Ini jelas, apabila permohonannya sebelum ini untuk mendapatkan bantuan benih ikan juga masih gagal diperolehi sehingga hari ini.

Misalnya, untuk mendapatkan makanan ikan seperti usus ayam itu beliau terpaksa menampung minyak kenderaan ke tempat yang dimaksudkan, apatah lagi kadang-kadang makanan dari usus ayam itu sekarang ini bukan lagi boleh diperolehi secara percuma, kesemuanya beliau perlu mengeluarkan modal yang secukupnya. 

Membicarakan tentang makanan-makanan yang patut diberikan kepada ikan-ikan keli tersebut, pada peringkat awal beliau memberikan ikan-ikan tersebut makanan khusus dikenali “palet” (makanan ikan diproses secara teknologi dalam bentuk biji) yang dibelinya di kedai di mana makanan ini diberikan kepada ikan dalam masa sebulan.

Dalam tempoh masa 1 (satu) hingga 2 (dua) minggu, ikan diberikan makan palet kecil. Manakala dari tempoh 2 (dua) minggu hingga sebulan pula, ikan-ikan akan diberikan palet besar. Selepas itu, beliau memberikan perut dan usus ayam sahaja. Menurutnya, usus dan perut ayam amat mudah diperolehinya daripada tukang sembeli ayam yang diperolehinya di pasar-pasar yang berdekatan.

“Nisbah penggunaan palet dengan jumlah 2,000 ekor ikan dianggarkan kira-kira RM50 sahaja. Jumlah ini kecil disebabkan ada alternatif lain iaitu penggunaan usus ayam itu tadi  sebagai makanan ikan”, katanya.

Menurutnya, jika digunakan palet secara berterusan kepada ikan, keuntungannya sukar diperolehi atau akan memperolehi kerugian jika dihitung dengan jumlah ikan itu. Cuma menurutnya, usus dan perut ayam itu perlu diikhtiarkan supaya bekalannya tidak tertangguh memandangkan ikan-ikan keli perlu memperolehi makanan secara berterusan.

Tentang daging-daging ikan juga amat berbeza di antara ikan-ikan yang diberikan makanan ikan yang dibeli di kedai dengan pemberian usus dan perut ayam. Ini kerana, ikan-ikan yang memakan usus dan perut ayam keadaan dagingnya agak berlemak.

Sebaliknya ikan-ikan yang memakan palet atau makanan khusus untuk ikan, keadaan dagingnya normal. Namun, makanan seumpama ini perlu diberikan sepanjang masa. Bahkan ikan yang dijual juga akan meningkat kepada RM7 bergantung kepada nilai harga makanan itu berbanding dengan penggunaan usus dan perut ayam.

Sebaliknya, supaya daging ikan menjadi keras dari kebiasaan kerana tidak semua citasara penggemar ikan kelinya itu gemar kepada dagingnya yang berlemak, ketika ikan berkenaan akan dijual ikan-ikan itu akan diberikan garam, menjadikan tubuh dan daging ikan-ikan tersebut agak kental sedikit apabila digoreng.

“Lazimnya ikan-ikan keli yang sudah matang boleh dimuatkan dalam satu-satu kolam iaitu kira-kira 700 hingga 800 ekor sahaja supaya ikan-ikan berkenaan sihat dan dapat bergerak bebas di dalam kolam tersebut. Bahkan terdapat dalam sebuah kolam boleh memuatkan kira-kira 1,000 ekor dan 2,000 ekor ikan”, ujarnya.

Berdasarkan keadaan kolam yang dibinanya itu, purata keseluruhan ikan-ikan keli yang ada di kolamnya itu berjumlah 40,000 ekor dan modal yang dikeluarkan untuk hal berkenaan kira-kira RM2,000. Bermakna, apabila ikan berusia 4 bulan, sebahagian ikan dalam kolam itu boleh dijual, jika dalam sebuah kolam menempatkan 1,000 ekor, separuh dari ikan-ikan itu boleh dijual kepada pembeli.

Berhubung penggunaan air dalam satu-satu kolam bagi ternakan ikan keli tidak memerlukan air yang banyak kerana ikan-ikan keli mampu bernafas walaupun dalam keadaan air yang keruh. Ini kerana menurutnya, ikan keli mengandungi liang untuk menyedut oksigen terletak di atas kerana ikan keli mempunyai dua insang, salah satunya insang berbentuk bulat yang bertindak sebagai penapis oksigen.  

Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, Mat Sukor atau Abe Mat boleh dihubungi
di talian: 013-9744645

Mat Sukor bin Dollah atau Abe Mat.


Abe Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Wartawan RELATIF bersama Abe Mat (tengah) dan salah seorang rakannya.






Inilah kolam di antara 20 kolam ikan keli milik Abe Mat.

Tonton Video:

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM